Home » , » Adnan arah kem tentera jadi pusat pemindahan baru

Adnan arah kem tentera jadi pusat pemindahan baru

Written By Gaha Belako on Wednesday, 4 December 2013 | 05:24


KUANTAN - Beberapa kem tentera akan dijadikan pusat pemindahan baharu mangsa banjir di Kuantan kerana ada pusat pemindahan yang terlalu ramai dan tidak selesa keadaannya.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata arahan itu dikeluarkan selepas beliau meninjau beberapa pusat pemindahan iaitu sekolah yang ditenggelami air dan mangsa banjir berada dalam keadaan tidak selesa serta ada yang tidak makan kerana jumlah mangsa terlalu ramai.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mereka ini dihantar ke pusat pemindahan baharu...di pangkalan tentera seperti Kem Batu 10 dan pangkalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Galing.

"Perdana menteri setuju dengan saranan ini dan mengarahkan saya supaya segera melaksanakannya dan petang ini saya mengadakan mesyuarat bersama pegawai-pegawai kanan kem terlibat dan pasukan keselamatan lain untuk langkah seterusnya," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau pusat pemindahan sementara di Sungai Isap di sini.

"Kami juga telah meminta pihak tentera memasak makanan untuk mangsa banjir dan hantar kepada mereka di situ kerana saya lihat ada yang tidak makan sebab terlalu ramai sampai tidak cukup makan, sedih saya tengok," katanya.

Menurut Adnan, selain masalah logistik, pihaknya turut menghadapi masalah seperti pihak sekolah enggan bilik darjah sekolah digunakan sebagai pusat pemindahan.

Sementara itu, Adnan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang berkata beliau mengarahkan pemimpin yang terlibat dengan Perhimpunan Agung Umno supaya pulang ke kawasan masing-masing untuk turut sama membantu mereka yang terjejas dengan bencana itu. - Bernama
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger