Home » , » Bekalan elektrik di Pahang hampir pulih sepenuhnya

Bekalan elektrik di Pahang hampir pulih sepenuhnya

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 4 December 2013 | 04:57



KUANTAN - Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya memulihkan hampir sepenuhnya bekalan eletrik yang terputus di sekitar bandar Kuantan akibat banjir.
 
Pengurus Bahagian Bekalan TNB Pahang Datuk Ir Abdul Halim Baharuddin berkata bekalan elektrik di sekitar bandar Kuantan terpaksa diputus berikutan air yang naik secara mendadak di dua Pencawang Masuk Utama TNB sejak petang semalam.
 
"Semalam, berikutan air banjir kita terpaksa memutuskan bekalan keseluruhan bandar Kuantan sebab kita nak menyelamatkan pencawang daripada mengalami kerosakan lebih teruk.
 
"Ini untuk menjamin kesinambungan bekalan jangka panjang dan menjaga keselamatan kesan daripada kenaikan paras air (di pencawang tersebut)," kepadanya kepada pemberita selepas meninjau pusat kawalan Pencawang Masuk Utama Kuantan di sini, hari ini.
 
Namun katanya, bekalan elektrik berjaya disambungkan semula selepas paras air di pencawang masuk utama di Tanjung Gelang kembali surut.
 
Abdul Halim berkata penjanaan semua pencawang itu dapat menampung bekalan elektrik hampir 90 peratus untuk sekitar bandar Kuantan.
 
Katanya pencawang masuk utama Kuantan Utara pula dijangka dapat beroperasi semula malam ini bergantung kepada keadaan banjir.
 
Beliau berkata masalah bekalan elektrik yang dihentikan selama 12 jam itu membabitkan kira-kira 60,000 pengguna.
 
Di KEMAMAN, pemotongan bekalan elektrik dijalankan secara berperingkat mulai semalam disebabkan pencawang dimasuki air bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini.
 
Pengurus Besar TNB Terengganu Ir Sahareena Mukhtar berkata sehingga pukul 2 petang ini, bekalan elektrik dipotong dari 141 pencawang di semua kawasan di Kemaman dan menjejaskan sekitar 5,000 hingga 6,000 pengguna.
 
Sahareena memberitahu Bernama langkah itu diambil memandangkan banjir di Kemaman naik melebihi paras bahaya sekarang.
 
Beliau berkata TNB akan membuat pemantauan secara berterusan dan bekalan eletrik akan disambung semula secara beperingkat apabila air surut.
 
Sehubungan itu, beliau meminta pengguna yang diarahkan berpindah supaya tutup semua suis utama sebelum meninggalkan rumah masing-masing bagi mengelak berlaku litar pintas. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger