Home » » 'Bye-bye Cik Na'

'Bye-bye Cik Na'

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 4 December 2013 | 01:19


KEMAMAN – Mayat seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang lemas ketika pulang daripada memukat ikan di Ladang Pelantoh, Padang Kubu, Kijal, kelmarin, ditemui tersangkut pada semak jam 1 pagi semalam di lokasi mangsa terjatuh ke dalam banjir.

Mangsa, Mohamad Ashraf Mohd Nor yang juga pelajar di Pusat Pengajian Taman Islam Bakau Tinggi, Chukai merupakan korban pertama banjir di negeri ini.

Ibu saudara mangsa, Marina Ismail, 31, berkata, Allahyarham yang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik memang rapat dengannya sejak kecil.

Menurutnya, Mohamad Ashraf tinggal di rumahnya sejak dua hari lalu dan kali terakhir dia bersama dengan Allahyarham pada jam 5 petang kelmarin sebelum Mohamad Ashraf keluar memukat ikan bersama bapa serta sepupu di kawasan kebun kelapa sawit Ladang Pelantoh yang dinaiki banjir.

“Sebelum keluar rumah, Allahyarham siap melambai tangan kepada saya sambil berulang-kali menyebut ‘bye bye Cik Na’ (nama panggilan mangsa kepada Marina). Saya tak sangka rupanya dia memang mahu ‘pergi’,” katanya.

Marina berkata demikian ketika ditemui di Taman Islam Bakau Tinggi kerana jenazah mangsa disolatkan di situ sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lubuk Lesung, Kijal, kira-kira jam 1 petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang kelmarin, Mohamad Ashraf tenggelam dalam banjir apabila bot fiber dinaiki bersama bapa, Mohd Nor Ismail, 45 dan sepupu perempuannya yang berusia 12 tahun, terbalik.

Bot itu terbalik berikutan mangsa tiba-tiba pengsan menyebabkan mereka bertiga terjatuh ke dalam air, namun bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu bas sempat menyelamatkan sepupu mangsa dengan membawanya ke tebing ladang.

Bagaimanapun, usaha bapanya mencari mangsa selama setengah jam di kawasan itu, gagal kerana mangsa sudah tenggelam sebelum membuat laporan kepada bomba.

Sementara itu, Tenaga pengajar Pusat Pengajian Taman Islam, Mohd Nakhaie Mohd Nafiah berkata, kehilangan Mohamad Ashraf amat dirasai warga pendidik dan pelajar Pusat Pengajian Taman Islam Bakau Tinggi kerana Allahyarham merupakan pelajar yang aktif dan pernah beberapa kali menjadi pengacara untuk majlis di sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam pula berkata, mangsa ditemui anggota polis, bomba dan penduduk kampung, yang bersama-sama mencari serta mengesan mangsa, selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sebaik bomba menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.10 malam kelmarin.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kemaman di Chukai untuk pemeriksaan sebelum disolatkan di Pusat Pengajian Taman Islam
--Sharian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger