Home » » Diserbu ketika lepak di rumah

Diserbu ketika lepak di rumah

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 4 December 2013 | 23:10


KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang sedang santai melepak di luar rumahnya melarikan diri seperti lipas kudung sejurus melihat  kehadiran polis, sekali gus membawa kepada penemuan pelbagai jenis dadah termasuk syabu dan heroin di sebuah rumah di Kampung Kolam Mengabang Telipot, di sini, Ahad lalu.

Dalam serbuan itu, polis berjaya merampas pelbagai jenis dadah seperti syabu seberat 155 gram, Yaba (33.1 gram), heroin (40 gram) dan pil domi (4.6 gram) selain turut menyita sebuah motosikal Yamaha RXZ yang dianggarkan bernilai RM4,000 dan wang tunai RM1,200 yang dipercayai hasil jualan dadah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu bersama Balai Polis Gong Badak dan Balai Polis Batu Rakit kira-kira jam 1.15 pagi hasil risikan dan maklumat awam.

Beliau berkata, sebaik tiba di rumah berkenaan, terdapat seorang lelaki sedang berehat di hadapan rumah sebelum suspek segera melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis bagi mengelak dicekup.

“Namun, hasil kecekapan polis, suspek berusia 37 tahun dan masih bujang itu berjaya dicekup sebelum pemeriksaan menemui tiga botol heroin di dalam poket seluarnya.

“Selain itu, polis turut menemui dua beg di kawasan semak berhampiran lokasi suspek ditahan sebelum pemeriksaan menemui dadah jenis syabu, yaba dan pil domi.

“Malah, pemeriksaan lanjut terhadap sebuah Proton Perdana yang ada di luar rumah turut menemui satu botol dadah jenis heroin” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Zamri berkata, suspek bersama barang kes yang dirampas dibawa ke IPD Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Katanya, suspek kini direman untuk disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
--Sharian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger