Home » , » Info Banjir: Penduduk Kelantan diminta siap sedia

Info Banjir: Penduduk Kelantan diminta siap sedia

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 3 December 2013 | 22:02



KOTA BHARU - Penduduk Kelantan terutama yang tinggal berhampiran beberapa sungai utama di negeri ini dinasihatkan supaya bersiap sedia untuk berpindah berikutan paras air sungai kini melepasi bahaya.
 
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Azmi Osman berkata dua batang sungai yang telah melepasi bacaan paras bahaya sehingga jam 11 pagi ini adalah Sungai Lebir dan Sungai Kelantan.
 
"Bacaan di Tualang, Sungai Lebir kini 35.34 meter melepasi bahaya 35 meter dan dua tempat bacaan di Sungai Kelantan iaitu di Jambatan Guillemard mencatat bacaan 16.14 meter (bahaya 16 meter) dan Tangga Krai 25.22 meter (bahaya 25 meter).
 
"Kita ingin menasihati penduduk yang tinggal di tebing sungai, agar mula mengambil langkah bersiap sedia jika diarahkan berpindah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
 
Selain itu, Sungai Galas dan Sungai Golok di Rantau Panjang pula melepasi paras amaran iaitu bacaan di Dabong, Sungai Galas kini 35.98 meter (amaran 35 meter) dan Sungai Golok itu 8.61 meter (amaran 8 meter).

Azmi berkata penduduk juga perlu akur untuk berpindah sekiranya arahan dikeluarkan untuk berbuat demikian demi keselamatan mereka.

"Kita tidak mahu berlaku seperti tahun sebelum ini kerana ada yang enggan berpindah kerana ini akan menyukarkan kerja-kerja menyelamat termasuk memberikan bantuan makanan jika keadaan semakin buruk," katanya.
 
Beliau juga meminta ibu bapa supaya turut memantau pergerakan anak-anak pada musim banjir bagi mengelakkan musibah dan tidak menjadikan keadaan itu sebagai pesta banjir.
 
Katanya jabatan itu kini sudah bersiap sedia memastikan usaha menyelamat dapat dilakukan dengan sempurna seperti menyediakan kenderaan utiliti, anggota unit Scuba dan menggerakkan anggota sukarela jabatan itu.
 
Keadaan cuaca di Kelantan kini mendung kecuali di pedalaman yang kini dilaporkan hujan.
 
Tinjauan di Rantau Panjang mendapati penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok sudah membuat persiapan untuk berpindah. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger