Home » , » Penduduk: Banjir di Kemaman paling buruk

Penduduk: Banjir di Kemaman paling buruk

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 4 December 2013 | 07:05


KEMAMAN - Banjir yang kini melanda daerah Kemaman disifatkan lebih buruk berbanding tahun lepas dan melumpuhkan hampir sebahagian besar bandarnya yang terletak di Cukai.

Kemaman merupakan kawasan paling teruk terjejas akibat banjir di Terengganu berbanding Hulu Terengganu dan Dungun.

Walaupun mangsa yang dipindahkan hampir mencecah 3,000 orang setakat 7 malam ini di Kemaman, namun jumlah itu dijangka meningkat menjelang malam ini berikutan air laut pasang.

Tinjauan Bernama di beberapa kawasan termasuk Kampung Bukit Mentok dan Pengkalan Pandan mendapati penduduk kawasan itu telah meninggalkan kediaman masing-masing kerana kebanyakan rumah mereka ditenggelami air hingga ke paras bumbung.

Seorang penduduk Bandar Baru Bukit Mentok, Norita Abdul, 38, menyifatkan banjir tahun ini lebih ganas berbanding sebelumnya hingga sebahagian kawasan didiaminya tenggelam dek banjir besar.

"Keluarga saya hanya sempat mengalihkan sebahagian barangan rumah ke tempat tinggi berikutan air yang naik ke dalam rumahnya dengan mendadak kali ini.

"Tahun lepas, air naik ke rumah tidaklah secepat ini tetapi kali ini sangat berbeza sehingga rumah saya boleh tenggelam hanya nampak bumbung," kata ibu lima anak ketika ditemui Bernama di Pusat Pemindahan mangsa banjir di Dewan Seri Amar di sini hari ini.

Jaafar Omar, 57, dari Kampung Pengkalan Pandan pula berkata kalau semasa banjir sebelum ini air masuk rumahnya paling tinggi pun hanya separas pinggang namun bencana kali ini lebih buruk.

"Tahun lepas air bah naik hanya paras pinggang. Maka saya pun letaklah barang-barang tinggi sedikit dari paras pinggang.

"Namun keesokan bila saya hendak balik ke rumah, Masya-Allah... tengok-tengok tinggal bumbung rumah je, semua tenggelam," katanya yang belum dapat menganggarkan jumlah kerugian dialaminya.

Sementara itu kesesakan teruk berlaku di Chukai setelah beberapa jalan utama di pusat bandar itu dinaiki air sedalam 0.5 hingga 1.5 meter di beberapa tempat.

Lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan pusat perpindahan mangsa banjir terpaksa bergelap akibat tiada bekalan elektrik sejak pukul 10 malam semalam berikutan Tenaga Nasional Berhad (TNB) memutuskan bekalan eletrik di beberapa kawasan banjir bagi mengelakkan kejadian litar pintas.

Stesen minyak turut mengalami masalah sama kerana memerlukan bekalan eletrik untuk beroperasi dan berikutan itu pengguna jalan raya terpaksa beratur panjang untuk mengisi minyak di lokasi pinggir bandar yang tidak dilanda banjir.

Tinjauan di Hulu Terengganu turut mengalami situasi sama seperti di Kemaman di mana kira-kira 25 buah keluarga di Kampung Paya Besar mengalami detik cemas setelah kediaman mereka mula digenangi air akibat hujan berterusan sejak empat hari lalu.

Namun kegelisahan mereka terubat setelah bantuan penyelamat tiba dengan menaiki bot Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dan membawa mereka ke pusat pemindahan Balairaya Paya Besar.

Penduduk kampung, Mohd Nasir Salleh, 45, berkata hampir kesemua rumah penduduk dinaiki air sehingga bumbung dan dia tujuh sekeluarga terpaksa berpindah sehelai sepinggang.

"Hujan lebat tidak henti-henti sejak beberapa hari antara penyebab air naik secara luar biasa dan mendadak. Saya boleh nampak haiwan ternakan berenang-renang dan barang rumah seperti tong gas terapung di atas air," katanya. - Bernama/Sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger