Home » » DUN Selangor Jangka Dibubar – Siap Sedia Pilihan Raya Negeri

DUN Selangor Jangka Dibubar – Siap Sedia Pilihan Raya Negeri

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 24 August 2014 | 02:15



Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka akan mempersembahkan cadangan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dibubarkan bagi membuka laluan kepada pilihan raya peringkat negeri diadakan segera.

Perkara itu dijangka akan menjadi topik utama beliau dalam pertemuan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam tempoh terdekat ini.

Sumber memberitahu Mynewshub, andai mendapat perkenaan, beliau akan mengumumkan dengan pantas berhubung perkara berkenaan.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengetahui mengenai niat Khalid telah mengeluarkan amaran kepada beliau agar tidak meneruskan rancangan berkenaan.



Peringatan itu disampaikan melalui Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini.

“Saya mengingatkan kepada Tan Sri Khalid walau baki-baki integriti yang baik itu sebaiknya uruskanlah peralihan ini dan hormati suara rakyat, jangan berani sabotaj rakyat dengan bubarkan dewan.

“Saudara perlu bersara dengan baik, berbulan-bulan kita cuba menutup perkara ini sehinggalah dirumuskan ke biro politik, jadi tanggungjawab Khalid adalah menghormati mandat yang telah diberi setahun yang lalu.

“Yang sudah tu sudahlah, bersara, hutang pun dah habis bayar, bersaralah baik baik, jangan susahkan rakyat,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan sempena Kongres Nasional PKR ke-10 di Shah Alam.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menjelaskan, walaupun Pas belum memberi surat sokongan meskipun keputusan telah dicapai dalam Majlis Pakatan Rakyat, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara jelas telah meraih 30 majoriti ADUN sekaligus layak dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

“Tambah lagi, Dr Wan Azizah walaupun tanpa surat daripada Pas, mempunyai majoriti yang jelas, kita ada 30 majoriti.

“Kalau ikut kes perlembagaan di Perak, jelas majoriti empat itu cukup tubuhkan kerajaan dan memilih seorang menteri besar baru,”

“Jadi janganlah Tan Sri Khalid menidakkan Perlembagaan dan suara rakyat.

“Supaya semua dapat diselesaikan dengan baik, supaya Dr Wan Azizah boleh menjadi Menteri Besar dan terus menumpukan kepada perkara yang nak dilaksanakan di Selangor,” katanya lagi.

Khalid dijangka bertemu Sultan Selangor paling cepat esok atau tarikh lain yang akan ditentukan oleh pihak istana.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keputusan menamakan isterinya sendiri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal mengisi tempat Khalid.

Bagi tujuan membukan laluan kepada Wan Azizah, Khalid telah dimalukan dan kemudian dipecat dari PKR.

Tindakan kuku besi Anwar amat kurang disenangi banyak pihak termasuk dalam PKR sendiri sehingga Rafizi hari ini meminta ahli-ahli yang tidak berpuas hati agar meninggalkan parti itu. -MYNEWSHUB
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger