Kenalan naik angin angkara sadap
Written By Berita Setiap Hari on Monday, 18 August 2014 | 03:33
BESUT - Seorang lelaki cedera ditetak kenalannya dengan sebilah pedang samurai, dipercayai berpunca daripada sebilah sadap dalam kejadian di Kampung Kepala Gajah dekat Renek, di Kampung Raja, petang kelmarin.
(Gambar sekadar hiasan)
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu menyebabkan mangsa berusia 45 tahun cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berada di dalam kebun kelapa sawit di kampung berkenaan.
Namun katanya, ketika mangsa membakar sampah, dia didatangi seorang lelaki dikenali yang bertanyakan kepadanya mengenai sadap kelapa sawit.
“Mangsa memberitahu suspek dia tidak tahu-menahu mengenai sadap itu, namun suspek dikatakan tidak berpuas hati lalu mengeluarkan sebilah pedang samurai dan menetak mangsa,” katanya.
Noorzainy berkata, mangsa cuba mempertahankan diri dengan menepis tangan suspek menyebabkan dia cedera di bahagian pipi dan telinga kiri, manakala lehernya pula calar-calar.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jertih, kira-kira jam 7.30 malam hari sama.
“Mangsa mendapatkan rawatan pesakit luar di Hospital Besut kerana keadaannya tidak serius.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kita berusaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata," katanya.
Sementara itu, Noorzainy menasihati orang ramai agar mengawal perasaan dan tidak bertindak di luar batasan kerana mereka yang melakukan kesalahan mencederakan orang lain, bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.
--sinarharian
Share this article :
Labels:
Jenayah