Home » » PRK Pengkalan Kubor 25 September ini

PRK Pengkalan Kubor 25 September ini

Written By Bp Channel II on Thursday, 28 August 2014 | 22:53


SHAH ALAM - Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menetapkan 25 September ini sebagai tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) N01 Pengkalan Kubor.

Manakala tarikh penamaan calon pula katanya telah ditetapkan pada 13 September ini.

Abdul Aziz berkata, keputusan itu dibuat selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker Dun Kelantan pada 24 Ogos lalu berhubung kekosongan kerusi tersebut.

"SPR telah mengadakan mesyuarat khas hari ini dan menetapkan satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

"SPR juga sudah dimaklumkan kekosongan kerusi itu berikutan kematian Adun Pengkalan Kubor dari BN, Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lalu," katanya kepada pemberita di ibu pejabat SPR, di sini, hari ini.

Allahyarham Noor Zahidi meninggal dunia akibat kanser hati di sebuah hospital di Guangzhou, China, pada 20 Ogos lalu.

Noor Zahidi yang juga Ketua Umno Bahagian Tumpat, 57, meninggal dunia pada jam 5.45 pagi, waktu Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz menambah, tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 21 September manakala tarikh tutup permohonan undi pos bagi pengundi dalam negara ialah pada 15 September dan luar negara pula pada 13 September.

Beliau berkata, sebanyak 11 sekolah akan digunakan sebagai Pusat Mengundi yang mengandungi 46 Saluran Tempat Mengundi.

Tambahnya, PRK ke-6 selepas PRU13 itu akan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM696,750 dan peruntukan itu meningkat disebabkan berlaku pertambahan dua saluran di kawasan itu.

"Bajet kali ini naik sikit disebabkan ada pertambahan dua saluran," ujarnya.

Selain itu, katanya, seramai 24,039 pengundi berdaftar akan membuang undi pada PRK N01 itu terdiri daripada 23,929 pemilih biasa, 109 pemilih awal dan seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Dalam pada itu, katanya, seramai 422 petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya kecil kali ini.

Pada pilihan raya kali ini, Ketua Jajahan Tumpat Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Mohd Sobri Ramli dilantik sebagai Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
--SINAR
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger