Home » » Kemenangan bukti keberkesanan jentera BN

Kemenangan bukti keberkesanan jentera BN

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 25 September 2014 | 10:04


TUMPAT - Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor adalah hasil keberkesanan jentera pilihan raya BN selain latar belakang calon yang baik.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan itu juga agak mengejutkan kerana BN memperoleh majoriti undi yang lebih besar berbanding pada Pilihan Raya Umum ke-13.

"Kemenangan BN ini sesuatu yang luar biasa dan antara faktornya adalah keberkesanan jentera BN, latar belakang calon yang baik dan isu-isu seperti royalti minyak yang berjaya ditangkis dengan baik.

"Antara lain kerana masalah dalaman Pakatan Rakyat yang menyebabkan ada antara pengundi yang bosan dan tidak mahu memilih mereka," katanya kepada pemberita selepas pengumuman kemenangan calon BN, Mat Razi Mat Ail di Pusat Penjumlahan Undi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Biji Wangsa di sini, malam ini.

Pada PRK itu Mat Razi memperoleh 9,981 undi dan calon Pas Wan Rosdi Wan Ibrahim mendapat 7,326 undi manakala calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary hanya menerima 38 undi.

BN menang dengan majoriti 2,635 undi berbanding kemenangan BN pada pilihan raya umum lalu iaitu 1,736 undi.

PRK itu diadakan berikutan kematian bekas penyandangnya daripada BN, Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar yang meninggal dunia pada 20 Ogos lalu.

Muhyiddin berkata kemenangan BN itu telah pun dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang kini berada di New York.

"Perdana Menteri telah pun mengucap tahniah kepada seluruh jentera BN dan juga kepada calon BN Ustaz Mat Razi atas kemenangan itu," katanya.

Beliau berkata BN mengucapkan terima kasih kepada semua pemilih di Pengkalan Kubor dan mendapati BN hanya kalah di tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) daripada 12 PDM tetapi majoriti kekalahan itu sangat kecil berbanding pada PRU lepas.

Timbalan Perdana Menteri berkata kemenangan itu juga adalah hasil peranan Pengarah Jentera BN pada PRK itu, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dapat mematahkan serangan Pas dalam isu seperti royalti petroleum.

Muhyiddin berkata sebagai memenuhi janji, BN akan melakukan yang terbaik bagi Dun itu melalui Mat Razi dan akan menunaikan segala janji yang diumumkan pada PRK itu seperti peningkatan infrastruktur.

Katanya kemenangan BN di Dun itu disifatkan sebagai pemangkin kepada hasrat yang lebih besar untuk merampas Kelantan keseluruhannya daripada Pas pada masa akan datang.

"Kemenangan ini sangat besar ertinya kepada BN dan semuanya adalah bermula di Pengkalan Kubor ini," katanya.

Muhyiddin juga meminta wakil rakyat yang baharu itu dapat memberikan khidmat bakti sepenuhnya kepada pengundi di Dun berkenaan tanpa mengira kaum, agama dan perbezaan fahaman politik.

"Jagalah amanah ini dengan baik dan turunlah bertemu rakyat mulai esok serta berilah khidmat bakti dengan cemerlang," katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger