Home » » PAS 'reti bahasa' akur titah Sultan - Hadi Awang

PAS 'reti bahasa' akur titah Sultan - Hadi Awang

Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 6 September 2014 | 21:03


SHAH ALAM: Ketegasan PAS mencalonkan tiga ADUNnya sebagai Menteri Besar Selangor membuktikan parti itu mendalami titah Sultan Selangor dengan sebaiknya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam pada itu membidas usaha sesetengah puak di dalam parti Islam itu yang mahu PAS hanya mengikut arahan dan telunjuk dua rakan sekutu di dalam Pakatan Rakyat.

"Surat dari istana minta kita hantar lebih dari dua nama. Orang kata kita tak reti (faham bahasa), maka kena hantar lebih dari dua. PAS reti (faham bahasa), yang lain terpulanglah nak hantar satu atau dua nama.

"Orang PAS nak minta pemimpin jadi bodoh ke? Orang minta kita hantar dua nama kenapa minta (hantar) satu nama? Kita tak begitu. Kalau ada pihak media pun tulislah berita ini," katanya di Program Dialog dan Penjelasan Isu Terkini yang diadakan semalam.

PAS, DAP dan PKR sebelum ini diminta memberikan lebih daripada dua nama kepada Istana Selangor untuk dinilai Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

PKR dan DAP bertegas mencalonkan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

PAS mengambil langkah sebaliknya apabila akur dan memberikan apa yang diminta baginda.

Semalam, sebuah akhbar melaporkan PAS menghantar tiga nama ADUNnya kepada Sultan Selangor untuk dipilih bagi menerajui negeri itu.

ADUN tersebut adalah Iskandar Abdul Samad (Cempaka), Ahmad Yunus Hairi (Sijangkang) dan Sallehin Mukhyi (Sabak).

Tegas Hadi tindakan PAS tidak boleh disifatkan sebagai semebrono memandangkan ia jelas mengikut titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Langkah itu katanya bertujuan memudahkan urusan pihak istana memilih calon yang terbaik bagi menerajui negeri termaju di negara ini.

"PAS hantar tiga nama, mengapa PAS hantar tiga nama sedangkan keputusan mesyuarat suruh hantar satu nama. Keputusan mesyuarat suruh hantar satu nama, PAS minta nak hantar dua nama tak boleh kena hantar satu nama juga...nak paksa PAS.

"Kalau nak hantar satu nama Sultan nak pilih macamana? Kemudian kita terima surat dari Istana, istana tulis surat pada saya semua parti hendaklah menghantar lebih dari dua nama," ujarnya.

Malah Hadi turut menepis dakwaan PAS menolak Wan Azizah kerana isu jantina.

"Yang sebenarnya sebab kita tolak calon (MB) di Selangor itu kerana tak layak daripada awal-awal lagi  tidak layak bukan sebab di perempuan...bukan sebab itu, tak boleh dan tak mampu untuk mengendalikan pemerintahan kerajaan negeri Selangor ini memerlukan seorang yang kuat untuk jaga negeri Selangor itu yang sebenarnya bukan sebab dia (Wan Azizah) perempuan.

"Sebab isu perempuan ini boleh muzakarah banyak, rasa Sultan pun dia ada mufti di Selangor dan dia (Baginda) boleh tanya mufti Selangor dalam bab ini," demikian menurutnya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger