Home » » Maut angkara lembu korban

Maut angkara lembu korban

Written By Berita Setiap Hari on Friday 3 October 2014 | 03:13


Permaisuri: Gara-gara perselisihan faham berhubung penjualan lembu untuk dijadikan korban Aidiladha, seorang lelaki maut manakala rakannya parah dilanggar seorang lelaki yang dikenali mereka dalam kejadian di Kampung Jelapang di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa, Rohadi Yaacob, 44, dari Kampung Bukit Loyat, Chalok meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Setiu manakalan rakannya, Zakaria Taib, 43, dari Kampung Jelapang, di sini yang cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Setiu Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, sebelum kejadian itu, Rohadi dikatakan bertengkar dengan suspek berusia 40 tahun di sebuah kedai kopi berhampiran jambatan di pekan Jelapang yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham dalam penjualan lembu.

Katanya, dua rakan Rohadi termasuk Zakaria yang dimaklumkan kejadian itu bergegas ke tempat kejadian bagi meleraikan pergaduhan itu sebelum ketiga-tiga mereka beredar.
Mereka kemudiannya menunggang motosikal secara berasingan pulang ke rumah.

Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang, suspek yang memandu Proton Gen-2 tiba-tiba muncul lalu merempuh motosikal ditunggangi Rohadi dan Zakaria menyebabkan kedua-duanya terpelanting di tengah jalan.

Susulan rempuhan tesebut, suspek terus bergerak ke depan dengan membuat pusingan U sebelum sekali lagi merempuh kedua-dua sahabat berkenaan dan terus melarikan diri.

Akibat kejadian itu, Rohadi cedera parah di kepala dan anggota badan manakala Zakaria parah di anggota badan.

Ab Rahman berkata, seorang lagi rakan mangsa yang menyaksikan insiden itu bergegas membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Setiu dengan bantuan orang kampung.

Ab Rahman berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana membunuh tanpa niat.
---Bharian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger