Home » » Kenapa permohonan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri ditolak? - Reezal

Kenapa permohonan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri ditolak? - Reezal

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 3 January 2015 | 21:29


KUALA LUMPUR: "Saya terkilan apabila kerajaan negeri tolak permohonan untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri Pulau Pinang."

Itu kata yang diungkap Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang melahirkan rasa sedih apabila mengetahui kerajaan negeri menolak permohonan agensi pusat untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri Pulau Pinang.

"Saya reda walaupun penolakan ini dibuat tanpa sebarang alasan spesifik, tetapi tetap terkilan kerana perancangan itu sebenarnya sudah dimaklum lebih awal," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Katanya, surat penolakan permohonan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri ditandatangani Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan diserahkan kepadanya pada 23 Disember lepas.

"Kita tahu pengarah JHEAIPP hanya menjalankan tugas, dia hanya menerima arahan. Kita juga tidak menyalahkannya," jelasnya.

Reezal yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang memberitahu, pihaknya turut memahami jika kerajaan negeri menolak sebarang majlis perarakan kerana menyifatkan ia tertakluk kepada kebenaran daripada kerajaan negeri itu sendiri.

"Tidak apa kalau (kerajaan negeri) tidak benarkan perarakan kerana itu hak mereka.

"Tetapi bagi saya, perarakan ini sejak dari dulu lagi tidak pernah menimbulkan rasa tidak senang pada semua kaum.

"Saya terkilan apabila perarakan ini dilihat seperti masalah pula apabila kita minta kebenaran melalui surat rasmi namun dibalas dengan surat penolakan. Ia seolah-olah satu aktiviti yang memudaratkan," jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan rugi apa-apa jika membenarkan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Negeri.

"Sebenarnya mereka akan dipandang tinggi kerana membenarkan kita mengadakan sambutan di situ dengan mengenepikan soal politik. Kita pilih Masjid Negeri kerana ia adalah ikon agama Islam di negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, sambutan Maulidur Rasul tetap diadakan namun dipindahkan ke Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.

"Ia masjid yang dibina kerajaan pusat namun kita tidak ada masalah jika ia mahu digunakan untuk kebaikan. Kita tidak akan halang dan tidak pernah menghalang," katanya.

Bagi tempoh 2008 sehingga 2014, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM408.96 juta untuk pembangunan Agama Islam di Pulau Pinang; RM116.22 juta untuk pembinaan masjid serta surau dan RM64.23 juta lagi untuk sekolah-sekolah agama.

Manakala RM127.15 juta pula untuk emolumen guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Takmir, Imam-imam, pentadbir dan penyelaras masjid, RM35juta untuk Kehakiman Syariah dan RM 66.36 juta untuk pembangunan tanah wakaf bagi tujuan meningkatkan ekonomi dan kemudahan perumahan.

Untuk tempoh yang sama, sebanyak 17 buah masjid telah dibina melibatkan peruntukan sebanyak RM79.74 juta dan sejumlah RM23.27 juta lagi bagi tujuan mengimarahkan aktiviti-aktiviti masjid di seluruh Pulau Pinang.

Dalam pada itu, seramai 1,814 orang guru-guru Kafa dan Takmir menerima elaun bulanan RM800 dan 500 orang Imam dengan elaun bulanan RM750 yang melibatkan peruntukan sebanyak RM22.7 juta pada 2014.


Read more at: http://www.astroawani.com/news/show/kenapa-permohonan-sambutan-maulidur-rasul-di-masjid-negeri-ditolak-reezal-51467?cp
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger