Home » » Sebungkus nasi lagi untuk ibu

Sebungkus nasi lagi untuk ibu

Written By Berita Setiap Hari on Monday 5 January 2015 | 23:03


Kuala Lumpur: "Acik nak nasi la... nak satu nak bagi kat mak kita."
Itulah rintihan seorang daripada dua sepupu berusia lingkungan sembilan dan sepuluh tahun yang datang untuk mendapat bekalan makanan daripada Seri Ziyanti Sufiantan, 40, ketika misi kemanusiaan bantuan mangsa banjir di Kampung Major, Kuala Krai, Kelantan.
Seri Ziyanti antara lebih 10 bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gunung Rapat di Ipoh yang menyertai misi kemanusian Projek Murni SMGR1992 itu pada 27 Disember lalu.
Ibu kepada empat anak berusia lingkungan 13 hingga 20 tahun itu berkata, pada 2.30 petang, Sabtu lalu, dia dan rakan lain membawa lebih 50 bungkusan nasi berlauk dan makanan ringan untuk diagihkan kepada kira-kira 100 penduduk di kawasan pedalaman berkenaan.
"Hampir semua penduduk datang ke arah kami seperti dalam keadaan kelaparan sebelum dua kanak-kanak itu meminta kepada saya supaya diberikan sebungkus nasi,” katanya.
Katanya, kanak-kanak itu dalam keadaan kelaparan dipercayai tidak makan dari pagi selain kakinya berlumpur.
“Saya pun memenuhi permintaan mereka tetapi seorang daripada mereka meminta sebungkus nasi lagi untuk diberikan kepada ibunya," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, tidak lama kemudian seorang daripada mereka pergi menemui keluarganya manakala seorang lagi makan di kawasan berhampiran peserta misi bantuan berkenaan.
Seri Ziyanti berkata, pengalaman membantu mangsa banjir selama sehari di kawasan berkenaan juga banyak memberikan pengalaman yang tidak akan dilupakan sepanjang hidupnya.
"Setibanya di kawasan mereka, saya sedih dan tidak percaya dengan keadaan yang berlaku ketika itu apabila hampir 90 peratus rumah musnah sehingga ada antaranya yang hanya tinggal tapak saja.
Keadaan ketika itu sungguh menyayat hati apabila penduduk kawasan berkenaan yang majoriti terdiri daripada warga emas yang tidak berdaya, hanya termenung seolah trauma dan sedih dengan keadaan yang berlaku, katanya.
"Saya tak boleh gambarkan keadaan ketika itu. Hampir semua kediaman yang dibina dengan bertanggakan batu dan berdindingkan papan musnah sepenuhnya... tak tahu macam mana nak buat."
"Malah, ada seorang pakcik berusia lingkungan 60-an dikenali sebagai Ayahdin ditemui duduk di kediaman yang bertanggakan batu dan berbumbungkan plastik seperti khemah selepas rumahnya musnah ditenggelami air akibat banjir,"
"Rasa nak menangis melihat keadaan mereka. Saya dan beberapa rakan lain berharap bantuan yang kami berikan dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/21721#foto
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger