BUKTI kewujudan manusia zaman Mesolitik di Gua Bewah
Written By Berita Setiap Hari on Wednesday, 1 July 2015 | 09:05
BUKTI kewujudan manusia zaman Mesolitik di Gua Bewah, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu mungkin disia-siakan jika ditemui orang biasa.
Tulang berwarna kehitam-hitaman yang dijumpai di gua itu hanyalah kelihatan seperti kayu-kayu lama. Mungkin juga, rahsia kewujudan manusia di gua itu pada zaman yang juga dikenali sebagai zaman Hoabinh, Epi-Paleolitik atau zaman Batu Pertengahan itu tidak akan terbongkar jika penemuan tersebut diusik individu tidak bertanggungjawab.
Gua Bewah pernah menjadi lokasi penyelidikan ahli kaji sejarah selepas penemuan beberapa artifak pada tahun 1995. Bagaimanapun ekskavasi tersebut tertangguh begitu sahaja.
Akhirnya selepas 14 tahun, ekskavasi Gua Bewah bersambung semula apabila kali ini usaha itu digerakkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Persatuan Sejarah Malaysia, Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Terengganu dan beberapa individu perseorangan.
PENEMUAN tulang remaja wanita purba bakal mengubah sejarah kewujudan awal manusia di Terengganu.
Penyelia yang melakukan ekskavasi di gua tersebut yang juga Timbalan Pengarah Institut Tamadun dan Alam Melayu (ATMA) UKM, Datuk Profesor Nik Hasan Shuhaimi Nik Abdul Rahman memberitahu penyelidikan di gua tersebut yang dijalankan sejak 8 November tahun lalu diteruskan oleh 33 peserta selepas penyelidikan kali pertama yang dilakukan pada tahun 1995 terhenti.
Katanya penemuan artifak bersejarah mula ditemui dua hari kemudian selepas pihaknya membuka tiga petak di Gua Bewah. Antara artifak yang ditemui termasuklah tanduk kambing, tulang haiwan, alat batu jenis sumatralith, batu pengetuk, batu pelandas, pisau batu, sisa makanan dan sebagainya.
Sepanjang cari gali itu juga katanya, mereka turut menemui kesan atau sisa tanah liat yang dibakar.
Kemudian, sebuah petak lagi dibuka pada 22 November tahun lalu. Beberapa tembikar dari zaman Neolitik yang tertulis corak seperti rock painting yang pernah ditemui pengkaji di tapak cari gali zaman Neolitik seluruh negara dikeluarkan dari petak itu.
Di petak yang sama iaitu pada kedalaman 65 hingga 70 sentimeter, pihaknya menemui rangka yang dipercayai milik manusia prasejarah zaman Hoabinh yang disemadikan dengan cara mengerekot seperti dalam kandungan ibu.
"Rangka manusia remaja purba yang dikebumikan dalam keadaan mengerekot di tepi batu besar di muka gua itu menjelaskan lagi tentang kehidupan sebenar di situ satu masa dahulu," ujar Nik Hasan Shuhaimi.
AHMAD turut tidak ketinggalan melawat tapak ekskavasi di Gua Bewah.
Katanya penemuan itu juga membolehkan penyelidik membuat kesimpulan baru mengenai kehidupan di gua tersebut.
Ini kerana, penemuan itu mengubah sejarah Terengganu yang dikatakan hanya bermula sekitar 4,000 tahun lalu berdasarkan penemuan satu rangka manusia di Gua Batu Tok Bidan sebelum ini.
Kedudukan Gua Batu Tok Bidan tidak jauh dari Gua Bewah, namun telah ditenggelami air kerana pembinaan empangan pada tahun 1980-an.
Menyentuh lanjut mengenai rangka tersebut, menurut beliau lagi, pihaknya terpaksa meminta bantuan unit forensik untuk mengenal pasti rangka berkenaan dan laporan awal iaitu daripada bentuk pinggul dan saiz tulang menunjukkan rangka itu milik wanita berusia sekitar 20-an.
"Bagaimanapun, kita terpaksa menunggu laporan ujian sampel DNA (asid deoksiribonukleik) dari Amerika Syarikat bagi mengenal pasti punca kematian wanita itu.
"Tetapi kita tidak menolak punca kematiannya kerana penyakit ataupun wabak kerana wanita itu meninggal dunia pada usia muda," katanya.
Pintu masuk gua
Jelas beliau lagi, ekskavasi tersebut juga turut membongkar mengenai kedudukan sebenar pintu masuk gua itu.
Ini kerana, mengikut kajian masyarakat dahulu kala tidak akan mengebumikan mayat di laluan utama mereka.
GUA Bewah bukan sahaja berdiri gah sebagai sebuah gua batu kapur tetapi juga lokasi cari gali ahli kaji sejarah.
Fakta tersebut kemudiannya membawa kepada persoalan bagaimana penduduk di kawasan itu boleh memanjat bukit tersebut untuk masuk ke gua setiap hari atau bagaimana cara mereka mendapatkan bekalan makanan memandangkan pintu masuk gua agak curam.
Nik Hasan Shuhaimi memberitahu, akhirnya mereka sependapat bahawa pintu utama gua sekarang sebenarnya adalah bahagian belakang gua itu.
Kesimpulan itu membawa mereka untuk mengkaji bahagian belakang gua tersebut yang dipercayai merupakan laluan masuk sebenar penduduk yang menghuni gua berkenaan selama beberapa kurun.
"Berdasarkan keadaan tanah yang sesuai untuk pertanian, anak sungai sebagai sumber air serta sumber hutan lain di situ, kita percaya kawasan belakang gua itu adalah laluan utama ke gua tersebut dahulu.
"Cuma kita masih belum menemui jalan masuk itu kerana ia mungkin tertimbus ekoran perubahan keadaan gua disebabkan pengaruh masa," katanya ketika ditemui pada sesi lawatan bersama Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said di situ baru-baru ini.
Jelasnya, tempoh lebih 10,000 tahun telah mengubah bentuk geografi di dalam gua itu apabila batu kapur yang membentuk stalagmit dan stalaktit di dalam gua membesar dan akhirnya menutup laluan sebenar ke gua bersejarah tersebut.
Ular penunggu gua
Bercerita mengenai pengalaman sepanjang kajian itu, Nik Hasan Shuhaimi memberitahu, mereka tidak menghadapi sebarang masalah tetapi kerja-kerja mereka sentiasa diperhatikan dua ekor ular semasa menjalankan ekskavasi tersebut.
GUA Bewah kini turut dijadikan sebagai salah sebuah destinasi pelancongan.
"Salah seekor ular itu berwarna putih dan ia selalu berada di atas batu besar tempat kubur itu ditemui. Seekor lagi berbelang dengan warna kehijau-hijauan," katanya yang percaya kedua-dua ekor ular itu merupakan penunggu gua itu.
Namun katanya, bagi memudahkan kerja-kerja penggalian mereka terpaksa menggunakan serbuk belerang yang ditabur di sekeliling petak penggalian bagi memastikan mereka tidak 'diganggu'.
Jelasnya, kerja-kerja penggalian kali kedua itu lebih mudah dilakukan berbanding kajian pertama pada tahun 1995 apabila salah seorang peserta ekskavasi diserang histeria sebaik tiba di tapak tersebut.
Namun, katanya, semua cabaran itu tidak akan mematahkan semangatnya dan ahli-ahli pasukan untuk mengkaji akar umbi sejarah negara ini.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0306&pub=Kosmo&sec=Horizon&pg=ho_01.htm#ixzz3OGqPKCri
Hakcipta terpelihara
Share this article :
Labels:
Sejarah