Ajal atas kubur isteri
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 15 August 2015 | 17:35
RAUB - Malang tidak berbau. Seorang warga emas maut dihempap pokok dalam satu kejadian hujan lebat dan angin kencang yang berlaku di sini, petang semalam.
Mangsa, Zulkifli Mat Taha, 66, yng berada di Tanah Perkuburan Islam Rotan Tunggal bagi menguruskan kerja menggali kubur untuk jenazah anak saudaranya yang meninggal dunia 9 pagi hari yang sama di Kuala Lumpur akibat sakit jantung.
Lebih menyayat hati apabila mangsa meninggal dunia di atas kubur arwah isterinya yang meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu.
Mangsa terperangkap bawah ranting
Menurut saksi kejadian, Pengerusi JKKK Kampung Melayu Sempalit, Abd Razak Mat, berkata, ketika kejadian dia melihat mangsa yang juga merupakan sepupunya sedang mencuci kubur arwah isterinya sambil memegang cangkul.
“Kami lebih kurang tujuh orang baru selesai memasang khemah, ketika itu saya dalam liang lahad yang telah digali bersebelahan kubur isteri arwah.
“Ketika itu hujan telah turun dan angin kuat. Tiba-tiba saya terdengar ada salah seorang antara kami kata ‘lari, pokok tumbang!’. Saya yang duduk bawah khemah terkejut dan keluar menyelamatkan diri.
“Selepas melihat keadaan kembali reda, saya kemudian terus mencari arwah. Kami kemudian menjumpainya di sebalik ranting pokok di atas kubur arwah isterinya,” katanya.
Katanya, sebaik mereka mengangkat mangsa, mereka dapati mangsa ketika itu telah tidak bernyawa.
Bercerita lanjut, Razak berkata, sebelum kejadian, mangsa dilihat berada dalam keadaan ceria dan bergurau senda, malah turut rajin membersihkan kawasan sekitar tanah perkuburan terbabit.
“Salah seorang dari kami yang kami kenali sebagai Mad telah cuba untuk menarik arwah, namun tidak sempat mungkin kerana kaki arwah tersangkut pada kubur isterinya,” katanya.
Katanya, sebelum kejadian dia melihat pokok yang menghempap mangsa telah condong namun ke arah bertentangan dari lokasi kubur yang digali.
“Angin kencang semalam terlalu luar biasa sehingga mengakibatkan pokok yang condong ke arah bertentangan jatuh ke arah kami.
“Kejadian berlaku terlalu pantas. Saya terkejut melihat perkara yang berlaku terlalu pantas sehingga saya tersandar ke pokok,” katanya.
Razak berkata, jenazah Zulkifli kemudiannya dikebumikan bersama anak saudaranya di dalam satu liang lahad malam kelmarin.
Peniaga turut kerugian, warung roboh
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.
Zahari berkata, ketika kejadian, mangsa bersama enam rakan serta saudaranya telah berada di tempat kejadian sekitar jam 4 petang.
“Dipercayai sekitar jam 4.45 petang, hujan lebat turun bersama angin kencang dan secara tiba-tiba sebatang pokok balak tumbang di mana sebahagian dahan pokok mengenai badan mangsa,” katanya.
Kejadian terbabit turut mengakibatkan adik ipar mangsa, Shahmenan Itam, 46, yang juga berada di tempat kejadian mengalami kecederaan di bahagian belakang dan menerima rawatan di Hospital Raub.
Dalam masa sama, seorang peniaga kerugian kira-kira RM10,000 apabila warungnya di simpang Krau, di sini turut musnah dalam kejadian hujan lebat dan angin kencang terbabit.
Peniaga terbabit, Siti Nurjannah Zakaria, 26, berkata, ketika kejadian, dia bersama Nur Fatin Amira Mat Isa, 21, dan dua lagi pekerja warung terbabit sedang melakukan urus niaga.
“Ketika itu ada kira-kira lima pelanggan di warung kami ini. Tiba-tiba datang angin kuat dari arah sebelah kiri kedai kami dan kemudiannya diikuti angin dari belah hadapan.
“Kedua-dua angin terbabit bertembung dan berlawanan mengakibatkan dua buah kanopi kami roboh sebelum terbalik diterbangkan angin,” katanya.
Fatin pula berkata, sejak 13 tahun berniaga di simpang terbabit, ia merupakan kejadian pertama berlaku ke atas warong mereka.
“Belum pernah lagi kejadian sebegini berlaku ke atas kami selama kami berniaga di sini. Malah kejadian berlaku terlalu pantas dalam masa anggaran 3 minit sahaja,” katanya.
Share this article :
Labels:
Semasa