DUNGUN - Seorang warga Indonesia, Suhirman Imran, 46 maut apabila kereta yang dinaiki bersama rakan terjatuh ke dalam gaung sedalam dua meter dalam satu nahas jalan raya di Kilometer 6 Jalan Paka menghala ke Al-Muktafi Billah Shah, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa yang tinggal di Kampung Santong dipercayai dalam perjalanan ke Bandar Dungun apabila kereta dipandu rakannya, Mohd Ramli Baharudin, 33 dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, mangsa yang sudah mendapat taraf penduduk tetap keluar rumah kira-kira jam 11.30 pagi bersama Mohd Ramli yang memandu Proton Wira.
Bagaimanapun, ketika melalui satu selekoh kenderaan dinaiki mereka terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan.
“Kereta dinaiki mangsa hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik beberapa kali dan terjatuh ke dalam gaung curam.
“Akibat insiden itu, pemandu dipercayai tercampak keluar sejauh 5 meter ketika kenderaan terbalik dan patah paha kiri serta luka-luka kecil di bahagian badan.
“Mangsa yang duduk di bahagian penumpang pula terperosok ke sebelah belakang kenderaan dan tersepit,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Lima anggota bomba dengan kekuatan sebuah jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.
“Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia selepas beberapa ketika dikeluarkan.
“Rakan mangsa dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital yang sama untuk bedah siasat dan tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Empat Anggota Jabatan Pertahanan Awam (Jpam) Dungun turut ke lokasi untuk memberi bantuan kecemasan dan membantu kelancaran lalu-lintas.