Nyaris maut terjatuh dari tingkat 2
Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 17 September 2015 | 22:04
KEMAMAN - Seorang budak perempuan berusia 6 tahun nyaris maut apabila terjatuh dari balkoni tingkat dua rumah rakannya dalam kejadian di Flat Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) di Kampung Fikri, di sini, lebih kurang jam 5 petang kelmarin.
Ketika kejadian, mangsa, Syuhada Syura Abdullah, sedang bermain dengan beberapa rakannya bersama dua lagi adik-beradiknya yang lain yang berumur 4 dan 7 tahun di balkoni rumah berkenaan.
Ibu mangsa, Suziana Khalid, 26, berkata, bagaimanapun anak keduanya itu yang bersekolah di Tadika Kemas Kampung Fikri mahu menyandar pada pagar balkoni tanpa menyedari dua tiang besi pagar itu telah tiada kerana tercabut.
“Kebetulan waktu tu saya balik kerja awal dan sebaik saya masuk ke dalam rumah kami di tingkat tiga di blok yang lain, tiba-tiba ada jiran datang panggil dan bagitahu anak jatuh dari tingkat dua.
“Saya yang panik cepat-cepat turun dan saya nampak ramai jiran kerumun serta kibas anak saya yang tak sedarkan diri. Tapi saya sangat syukur.. lepas saya panggil namanya berulang kali, dia buka mata. Dia pitam sekejap saja,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai makan di Kampung Geliga Jambatan.
Berikutan itu, Syuhada segera dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan dan hasil imbasan x-ray mendapati terdapat kesan retak pada tempurung kepala di bahagian belakang.
Syuhada kemudian dipindahkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Kata Suziana, sejak insiden tidak diduga itu anaknya kerap muntah dan mengalami pening dipercayai akibat gegaran pada kepala yang dialami.
Share this article :
Labels:
Semasa