Home » » Usaha cari tujuh murid diteruskan

Usaha cari tujuh murid diteruskan

Written By Berita Setiap Hari on Sunday, 6 September 2015 | 17:47


GUA MUSANG - Kehilangan tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis, dekat sini, sejak 23 Ogos lalu masih menjadi misteri walaupun pasukan mencari menemui stoking dipercayai milik mangsa.

Masuk hari ke 12 operasi mencari tujuh mangsa yang berasal dari Kampung Gawing dan Penad Pos Tohoi itu tidak menunjukkan sebarang positif dalam perkembangan terbaru gerakan mencari itu.

Bagaimanapun, anggota dari pasukan keselamatan khususnya dari Angkat Tentera Malaysia (ATM) turut dikerah untuk mencari mangsa sejak kelmarin di semua kawasan berhampiran Pos Tohoi.

Daripada perasaan lega bagi setiap keluarga murid Orang Asli itu selepas mendapat petunjuk baru berikutan penemuan sebelah stoking dipercayai dimiliki salah seorang mangsa kembali risau.

Ini kerana anak mereka masih belum dijumpai sampai sekarang dan bimbang dengan keadaan keselamatan mangsa yang tidak dapat ketahui nasibnya, tetapi masih mengharapkan semuanya masih selamat.

ATM diseliakan tiga pegawai dari Markas 8 Briged, Pengkalan Chepa membantu gerakan mencari mangsa dengan menyediakan dua ekor anjing pengesan memasuki kawasan hutan.

Selain itu, anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Jabatan Pendidikan Negeri  dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyertai gerakan mencari mangsa sejak hari pertama kehilangan mereka.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli termasuk enam perempuan dan seorang lelaki SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari sekolah kerana takut dikenakan tindakan guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Tujuh pelajar yang hilang termasuk enam adalah perempuan ialah Mirsudiar Aluj, 11, Noreen Yaacob, 10, Ika Ayel, 9, Sasa Sobrie, 8, Haikal Yaacob, 8, Linda Rosli, 8 dan Juvina David, 7.

Semalam, operasi mencari diteruskan dengan menyertai sama Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat yang berpangkalan di Subang untuk membuat rondaan dari udara bagi mengesan tujuh mangsa.

Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Muhammad Zahari Othman berkata, murid anak Orang Asli dari SK Pos Tohoi yang hilang itu merupakan kejadian pertama dalam sejarah pembukaan sekolah di kampung Orang Asli di Hulu Kelantan.

Beliau mengakui mereka yang hilang itu adalah aset penting kepada generasi kaum terbabit pada masa akan datang kerana murid berkenaan yang masih belajar dari tahun dua hingga lima.

Katanya, kejadian itu menarik perhatian semua pihak kerana ia sudah mengambil masa lebih dua minggu kehilangan mereka, namun operasi mencari masih gagal mengesan mangsa.

“Kita setuju dengan cadangan pihak berkuasa untuk mengambil maklumat mengenai kejadian itu daripada rakan mangsa di sekolah kerana mungkin mereka lebih tahu.

“Kita amat mengalu-alukan kerjasama semua pihak dalam operasi mencari murid sekolah berkenaan dan mengharapkan murid terbabit dapat ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, operasi mencari tujuh murid yang hilang itu masih diteruskan seperti biasa dan belum ada perkembangan terbaru setakat ini.

Beliau selaku ketua komander operasi berkata, kawasan pencarian mangsa diperluaskan ke kawasan lebih jauh membabitkan ATM mulai kelmarin.

“Kita belum terima sebarang maklumat terbaru dalam operasi itu hari ini (semalam) kerana semua anggota berada dalam hutan dan menjejaki mangsa melalui petunjuk penemuan stoking dan tapak kaki.

“Penemuan tapak kaki itu belum kita dapat pastikan lagi sama ada ia milik mangsa yang hilang atau orang lain,” katanya.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger