Home » » Cedera di tangan akibat ditetak

Cedera di tangan akibat ditetak

Written By Gaha Belako on Tuesday, 26 July 2016 | 03:30


KAMPUNG RAJA - Seorang lelaki cedera di kedua-dua tangan selepas ditetak empat lelaki kerana meminta hutang daripada seorang suspek dalam kejadian di Pantai Bukit Keluang di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa bertemu seorang suspek dikenalinya berhampiran kedai makan di pusat perkelahan itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, ketika bertemu, difahamkan mangsa menuntut hutang yang belum dibayar suspek dikenali dengan panggilan Udin.

Menurutnya, suspek dikatakan tidak berpuas hati lalu bertindak menetak mangsa di tempat kejadian bersama rakannya.
“Akibat tetakan tersebut, suspek mengalami kecederaan di bahagian kiri dan kanan belakang lengan.

“Mangsa dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk rawatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian berasingan di lokasi sama pada keesokannya, sebuah kedai makan terbakar disyaki akibat perbuatan khianat.
Menurutnya, penyewa premis kedai milik Majlis Daerah Besut (MDB) itu mengetahui kejadian itu kira-kira jam 9 pagi Sabtu lalu selepas dimaklumkan bapanya.

“Kebakaran itu menyebabkan bangunan dan barangan di dalam kedai musnah dan mangsa mengesyaki tiga lelaki terlibat memandangkan suspek pernah mengugut mahu membakar kedainya pada 15 Julai lalu,” katanya.

Tambahnya, polis telah menahan seorang suspek bersabit kes tetak berusia 23 tahun dari Kampung Pak Kiang, dekat Kampung Raja.

"Sementara dua lelaki berusia 46 dan 44 tahun dari Kampung Keluang dan seorang lelaki berusia 37 tahun beralamat di Alor Star, Kedah, ditahan untuk membantu kes kebakaran kedai.

“Suspek berusia 44 dan 37 tahun yang merupakan rakan mangsa tetak turut berada di tempat kejadian ketika mangsa ditetak dan disyaki mereka berdua pernah mengugut untuk membakar kedai tersebut,” katanya.

Menurutnya, polis sedang menyiasat motif sebenar bagi kedua-dua kes tersebut.

"Kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api," katanya.
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger