Home » , » Warga emas tercampak atas jalan

Warga emas tercampak atas jalan

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 18 December 2016 | 19:06



TUMPAT - Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar oleh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 6 Jalan Wakaf Bharu-Tumpat di hadapan Taman SPP Kota Warisan Kampung Berangan, semalam.

Mangsa, Hussain Hamid,  67, dari Kampung Kolam Teratai, Palekbang di sini, maut ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Zaharudin Rasip berkata, mangsa menunggang motosikal jenis Honda EX5 berlanggar dengan sebuah kereta jenis Kenari dalam kejadian jam 6.45 pagi.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu kereta terbabit dari arah Wakaf Bharu menghala ke bandar Tumpat terlanggar bahagian belakang motosikal mangsa.

“Mangsa ketika itu dalam perjalanan menghala ke Tumpat,” katanya.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu, motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan menyebabkan mangsa tercampak di atas jalan.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tumpat dan dirujuk ke HUSM Kubang Kerian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia jam 10.23 pagi dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan selepas dibedah siasat.

Pemandu kereta terbabit berusia 56 tahun tidak cedera.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger