Home » » Daun ketum masuk Akta Dadah Berbahaya – PDRM

Daun ketum masuk Akta Dadah Berbahaya – PDRM

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 28 January 2014 | 15:22

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyorkan kepada Kementerian Dalam Negeri supaya daun ketum dimasukkan dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi membolehkan hukuman berat seperti penyalahgunaan dadah dikenakan kepada pemilik, pengedar dan pengguna.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, langkah itu perlu kerana daun ketum iaitu sejenis tumbuhan yang boleh mengkhayalkan seperti dadah, kini mula diseludup ke Thailand dan Singapura.
“Daun ketum hanya tumbuh liar di Malaysia. Kita tidak mahu Malaysia menjadi hab dadah untuk ketum,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, sehingga kini pesalah yang mengedar, memiliki dan menggunakan daun ketum itu hanya dikenakan denda sedangkan polis menyifatkan tumbuhan itu sebagai dadah yang boleh membawa kepada ketagihan dan memudaratkan penggunanya.
Malaysia menetapkan penjualan daun ketum boleh didakwa mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman penjara maksimum 4 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pada 15 Januari lalu, enam wanita warga Thailand ditahan di tepi jalan Kampung Banat, Arau di Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis, Perlis kerana disyaki cuba menyeludup daun ketum seberat 72 kilogram (kg).
Noor Rashid berkata, jika daun ketum dimasukkan dalam Jadual Satu ADB, polis boleh mendakwa pesalah berkenaan mengikut Seksyen 39 B Akta ADB 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.
“Kini jika pokok ketum itu ditanam seperti ladang di belakang rumah seseorang pun kita tidak boleh ambil tindakan kecuali apabila mereka mengedar dan menjual daun itu kepada pihak lain, barulah ia menjadi kesalahan,” katanya.
Beliau berkata, selain daun ketum, terdapat juga bahan terkawal lain antaranya seperti asid hidroklorik, kafein, iodin dan kloroform akan diusulkan untuk dimasukkan dalam Jadual Satu ADB kerana ia merupakan bahan untuk membuat dadah sintetik jenis Eramin-5, syabu, ice dan ekstasy.
“Dadah sintetik dibuat menggunakan campuran kimia berkenaan dan sindiket dadah antarabangsa mengubah kandungan bahan kimia itu agar kandungannya tidak termasuk dalam Jadual Satu ADB untuk elak daripada hukuman berat dan dikenakan di bawah Akta Racun,” katanya.
Beliau berkata, bahan itu perlu dimasukkan kerana 50 peratus daripada 175,000 penagih dadah yang ditahan di seluruh negara tahun lepas menggunakan dadah sintetik manakala selebihnya menggunakan dadah berasaskan opium seperti morfin, heroin dan ganja, menurut sumber Bernama.

Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger