Home » » Acu pisau di leher adik

Acu pisau di leher adik

Written By Berita Setiap Hari on Wednesday 13 August 2014 | 21:38


BESUT - Seorang lelaki bertindak kejam apabila sanggup mengacu sebilah pisau di leher adik perempuannya semata-mata bagi mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah dalam kejadian di Kampung Bukit Tanah, di sini, kelmarin.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 9.05 pagi ketika mangsa berusia 20 tahun sedang menonton televisyen, sebelum didatangi abangnya yang berusia pertengahan 20-an dan tinggal berasingan.

Katanya, suspek yang merupakan penagih dadah dikatakan bertindak sedemikian kerana berang selepas adiknya itu tidak memenuhi permintaannya untuk mendapatkan wang.

“Suami mangsa ketika itu bekerja, manakala mangsa yang tidak bekerja pula berada seorang diri di dalam rumah sebelum dihampiri suspek yang meminta wang.

"Namun, mangsa tidak mengendahkan permintaan abangnya itu dengan memberi alasan tidak mempunyai wang, menyebabkan suspek naik angin lalu mengambil sebilah pisau di dapur dan mengacukan senjata itu di leher mangsa," katanya.

Menurut sumber lagi, suspek kemudiannya memaksa mangsa memberikan wang sambil cuba menarik subang dipakai adiknya itu, namun cubaan tersebut gagal apabila mangsa memberanikan diri melawan sebelum berjaya melarikan diri.

Katanya, mangsa yang bimbangkan keselamatan dirinya kemudian membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Noorzainy Mohd Noor yang mengesahkan menerima laporan kejadian berkata, suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau bertindak sedemikian dipercayai untuk membeli dadah.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan usaha memburu suspek sedang giat dijalankan.
--SINAR HARIAN
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger