Thursday, 11 September 2014

Gadis dibelasah hingga mati, dibogel, dirakam


Sandakan – Tidak cukup membelasah seorang gadis yang juga rakan sekerjanya dengan batang besi sehingga maut, seorang lelaki turut menanggalkan semua pakaian dan merakam foto mangsa dalam keadaan bogel dalam kejadian di sebuah kilang di Kampung Sungai Kayu, Batu 7, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, mangsa Rizma Johan, 20, yang ketika itu masih bernyawa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah di kepala.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama empat rakan sekerjanya dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja sebelum suspek meluru dari belakang dan terus menarik rambut gadis berkenaan.


Pada masa sama, suspek memukul kepala mangsa menggunakan batang besi beberapa kali sehingga beberapa rakan sekerjanya cuba membantu dengan menahan suspek daripada terus membelasah gadis terbabit.
Bagaimanapun, suspek tidak mengendahkannya malah turut memukul seorang rakan mangsa menggunakan batang besi sama. Sebaik mendapati mangsa tidak sedarkan diri, lelaki terbabit menanggalkan semua pakaian mangsa sebelum merakam gambar bogel mangsa sebelum beredar.
Majikan mangsa yang tiba beberapa minit kemudian membawa mangsa ke HDOK untuk rawatan. Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital.
“Suspek berusia 30 tahun yang juga rakan sekerja mangsa ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Sandakan, jam 8.30 malam hari sama,” katanya.
“Siasatan lanjut di tempat kejadian turut menemui sebatang besi dipercayai digunakan suspek ketika kejadian,” katanya. Zabidi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, lapor Hmetro.