Home » » 12 tahun tanggung derita

12 tahun tanggung derita

Written By Berita Setiap Hari on Saturday 31 January 2015 | 18:21


BESUT – Seorang warga emas yang juga isteri kepada peneroka di Felda Tenang, Hulu Besut, Munah Abdullah, 61, terpaksa menanggung derita sejak 12 tahun lalu akibat perutnya membesar hingga dia tidak dapat melakukan sebarang aktiviti.

Dalam tempoh berkenaan, Munah hanya mampu tidur dalam keadaan duduk kerana tidak dapat berbaring di atas tilam di ruang dapur rumah, selain hanya mampu termangu dan berpegang pada sebatang kayu yang digantung seperti buaian.

Lebih memeritkan, dia hanya mampu melelapkan mata sekitar satu jam semalaman kerana tidak selesa dengan keadaan ditanggungnya itu.

“Walaupun keadaan perut makcik begini, tetapi tidak sakit. Selera makan juga tidak berubah, malah dapat membuang air besar dan kecil seperti biasa.

"Cuma disebabkan perut begitu besar dengan anggaran berat kira-kira 150 kilogram, makcik sukar bergerak. Semuanya dilakukan di tepi katil termasuk buang air.

“Makcik langsung tidak boleh tidur kerana kalau baring, sukar untuk bangun. Sekarang kalau mahu buang air besar atau kecil, suami atau ibu makcik (Manaf Jusoh, 79) yang bantu. Pada waktu malam, makcik habiskan masa baca al-Quran untuk menenangkan diri,” katanya.

Alami kejadian pelik

Bagaimanapun, Munah menolak andaian sesetengah pihak yang mengatakan dia mengalami busung, sebaliknya sukar untuk menjelaskan mengenai punca sebenar penyakitnya itu yang berkemungkinan ada kaitan dengan kejadian misteri dialaminya dulu.

Kata Munah yang turut menghidap penyakit darah tinggi, buah pinggang dan jantung, masalah itu bermula ketika dia pergi berkelah bersama beberapa saudaranya di sebuah kawasan air terjun, 12 tahun lalu.

“Ketika berkelah, tiba-tiba makcik rasa hendak buang air kecil dan memandangkan keadaan tandas di situ tidak bersih, makcik buang air di tepi sungai sahaja. Tapi makcik terkejut apabila mendapati ada lelaki berpakaian putih di hadapan makcik.

"Makcik tertanya-tanya dari mana datangnya lelaki itu, tetapi sebaik sahaja mata makcik berkelip, lelaki itu ghaib. Orang lain yang bersama makcik tidak nampak apa yang makcik nampak,” katanya.

Munah berkata, selepas kejadian itu, dia sering bermimpi didatangi lembaga sama yang mendakwa bernama Sultan Ahmad yang mengajak untuk mengikutnya, namun dia enggan kerana sudah bersuami.

Menurutnya, tidak lama selepas itu, dia mendapati dirinya tidak datang bulan dan pemeriksaan di sebuah klinik kesihatan mendapati dia berbadan dua dan ketika itu usianya 49 tahun.

“Ketika usia kandungan lima bulan, makcik pergi membuat imbasan di hospital, namun doktor terkejut kerana tidak ada janin dalam kandungan makcik. Makcik ditahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk pemeriksaan lanjut, tetapi doktor pakar tidak menemui sebarang masalah.

"Walaupun doktor kata makcik tak mengandung, tetapi keadaan makcik memang seperti orang hamil kerana ‘janin’ di dalam perut sering menendang," katanya.

Tak mampu teruskan rawatan

Menurut Munah, selepas 12 bulan ‘hamil’, dia bermimpi bersalin, namun anak lelakinya itu diambil lembaga tersebut.

“Dalam mimpi, lembaga itu minta makcik pilih antara dua sama ada ingin mengikutnya atau suami makcik. Makcik kata macam mana nak ikut dia kerana makcik ada suami. Kena ikut suamilah. Lembaga itu kata kalau makcik tak nak ikut dia, perut makcik akan kekal besar seperti mengandung.

"Malah sejak ‘bersalin’, lembaga itu tidak lagi datang dalam tidur makcik hingga sekarang, namun perut makcik semakin hari semakin membesar," katanya.

Munah berkata, sejak itu, dia tidak ke hospital lagi kerana beranggapan doktor sudah tidak mampu merawat penyakitnya, sebaliknya melakukan rawatan secara tradisional dan alternatif sahaja di banyak tempat.

Katanya, pelbagai rawatan sudah diusahakannya termasuk ada yang mengenakan bayaran tinggi, namun setakat ini belum berkesan.

“Sudah ratusan bomoh, sebut sahaja di mana termasuk Kuala Lumpur, semua makcik dah pergi. Namun, setakat ini belum mampu untuk sembuhkan perut makcik.

“Sekarang, makcik tidak mampu buat rawatan walaupun dengan bomoh memandangkan wang simpanan sudah kurang,” katanya.

Menurut Munah, selama ini dia hanya bergantung harap pada hasil ladang diusahakan suaminya, Awang Abdullah, 64, yang kini semakin uzur, termasuk untuk menyara anak tunggalnya, Zulkifli, 27, yang kini sedang mencari pekerjaan selepas menamatkan pengajian di UiTM Shah Alam.

Adun sedia bantu

Sementara itu, Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad berkata, beliau sendiri sudah mengetahui mengenai keadaan warga emas yang tinggal di Felda Tenang Peringkat 2 itu, selain kerap melawat dan menghulurkan sumbangan.

Menurutnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan dan Komoditi negeri, Munah juga sudah diminta untuk mendapatkan rawatan pakar kerana sekiranya warga emas ini sanggup ke hospital, beliau sendiri akan menguruskan agar Munah mendapat pelbagai kemudahan termasuk pembiayaan di bawah tabung pesakit kronik negeri.

Namun, Munah masih belum berhasrat mendapatkan rawatan doktor, sebaliknya merayu mana-mana individu dapat tampil memberi rawatan secara percuma atau sukarela kerana dia dan keluarga tidak mampu membiayainya.

Munah juga berharap jika ada pihak dapat menyumbangkan katil boleh laras bagi membolehkan dia tidur menegak dengan lebih selesa.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger