Home » » Munah sudah boleh bernafas sendiri

Munah sudah boleh bernafas sendiri

Written By Berita Setiap Hari on Friday 20 February 2015 | 21:38


HULU BESUT - Keadaan wanita yang mengalami masalah perut membesar sehingga menyukarkan pergerakannya, Munah Abdullah, 61, kini dilaporkan stabil dan bertambah baik.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohammad Omar berkata, warga emas terbabit yang ditempatkan di ICU Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) memberi tindak balas positif terhadap semua rawatan yang diberi.

Menurutnya, alat bantuan pernafasan telah pun ditanggalkan sejak kelmarin dan dia sudah boleh bernafas sendiri selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan ovari di dalam badannya serta mengeluarkan lebih 50 liter cecair.

“Cuma keadaannya masih memerlukan rawatan susulan.

“Bagaimanapun baru-baru ini pakar perubatan dapati buah pinggang Munah tak berfungsi dan tidak ada air kencing yang dapat dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata, pihak hospital terpaksa menjalankan rawatan mencuci darah melalui kaedah hemodialisis dan setakat ini dia telah menunjukkan tanda pulih secara perlahan-lahan.

“Sejak rawatan itu dilakukan dia sudah mula mengeluarkan air kencing sedikit demi sedikit, manakala ujian kuman di dalam darah pesakit juga didapati negatif.

“Pihak pakar sakit puan dan semua di hospital ini berusaha memberi rawatan sebaik mungkin kepada Munah dan berharap dia akan sembuh walaupun secara perlahan-lahan,” katanya.

Sinar Harian 13 Februari lalu melaporkan Munah selamat menjalani pembedahan membuang ketumbuhan termasuk mengeluarkan keseluruhan sebanyak 50 liter cecair dari dalam perutnya.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger