Home » » Amukan lelaki khayal dadah

Amukan lelaki khayal dadah

Written By Berita Setiap Hari on Thursday 14 May 2015 | 23:02


KOTA BHARU - Seorang lelaki yang dipercayai lalok, melepaskan beberapa tembakan menyebabkan pelanggan bertempiaran lari dalam kejadian di gerai makan Pusat Tarbiah Pas, Rantau Panjang, tengah malam, semalam.

Lelaki berusia 40 tahun itu bertindak sedemikian selepas dia dimarahi pemilik gerai berusia 49 tahun kerana terlanggar kereta jenis Proton Saga dan merempuh kedai makan mangsa, dalam kejadian jam 12 tengah malam itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, suspek yang berada di bawah pengaruh dadah memandu kereta jenis Subaru masuk ke kawasan pusat berkenaan.

Menurutnya, ketika cuba memakir keretanya, dia terlanggar sebuah kereta lain yang diletakkan di hadapan kedai dan turut merempuh kedai tersebut.

“Rempuhan menyebabkan peniaga dan lebih 20 pelanggan di situ terkejut. Peniaga tersebut  memarahi suspek. Dalam kekecohan itu, mangsa sempat membaling batu ke arah kereta suspek hingga cermin hadapannya pecah menyebabkan suspek  berang. Suspek keluar dan melepaskan satu das tembakan.

“Panik mendengar bunyi tembakan, mereka bertempiaran lari menyelamatkan diri. Suspek kemudiannya mengambil kesempatan  melarikan barang berharga dan telefon bimbit ditinggalkan pelanggan di atas meja,” katanya.

Mazlan berkata, dalam keadaan kelam-kabut menyelamatkan diri, orang ramai yang baru sahaja selesai menghadiri kuliah agama di pusat berkenaan sempat mengunci pagar bagi mengelak suspek terlepas, namun lelaki itu turun dari kereta dan melepaskan satu lagi das tembakan sebelum membuka pagar serta lolos.

Menurutnya, suspek yang memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah itu akhirnya ditahan polis di rumah keluarganya di Bunut Susu, Pasir Mas, jam 7 pagi, semalam.

"Beberapa kelongsong peluru jenis bebola besi digunakan untuk lepaskan tembakan daripada senjata tiruan turut ditemui di lokasi kejadian.

“Lelaki tiga anak itu ditahan reman bagi bantu siasatan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 379 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana mencuri serta menceroboh,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Nik Nokman Ismail berkata, dianggarkan 40 penduduk di tempat kejadian ketika itu.

Menurutnya, mereka terpaksa melarikan diri selepas mendapati kereta suspek merempuh kereta lain dan suspek turut mengeluarkan pistol.

“Kami tak sempat ambil beg dan barang berharga. Ada penduduk baling batu ke arah suspek dengan harapan dia berundur,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger