Home » » Dua beranak ditetak bertubi-tubi

Dua beranak ditetak bertubi-tubi

Written By Berita Setiap Hari on Monday 11 May 2015 | 23:02


TANAH MERAH - Hanya mati bermain di fikiran seorang suri rumah apabila anak lelaki dan suaminya ditetak bertubi-tubi dengan parang panjang dalam kejadian samun di Kampung Binjai Manis, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, Fatimah Harun, 49, yang diacukan pisau dan pedang samurai di leher dan perut hanya mampu berdoa agar anak lelaki dan suaminya selamat.

Anaknya, Shajimi Khairuddin Mohd Shaari, 11, bagaimanapun terselamat kerana berselimutkan selimut tebal ketika ditetak, manakala suaminya, Mohd Shaari Hassan, 50, luka di tangan, bahu dan belakang badan.

“Lama juga saya lihat mereka berdua kena tetak bertalu-talu dan dalam hati ketika itu, saya hanya fikirkan anak saya dan suami akan mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Menurut Fatimah, kejadian berlaku ketika mereka baharu hendak tidur selepas selesai menonton televisyen apabila tiga lelaki bertopeng tiba-tiba menyerbu masuk dan terus menetak anak dan suaminya.

“Anak saya tidur berselimutkan ‘toto’ (selimut tebal), jadi nampak macam orang dewasa. Mungkin sebab itu bila masuk, mereka (penjenayah) terus tetak anak saya dulu dan bila sedar suami saya tidur di sebelah, baru mereka tetak dia.

“Saya pula bila buka mata, pedang sudah ada di leher dan pisau di perut. Saya terus berpaut pada pedang sebelum diseret ke ruang tamu bahagian atas rumah oleh seorang penjenayah,” katanya.

Tahan tetakan dengan tangan

Akibat tetakan itu, Mohd Shaari menerima 12 jahitan pada tangan kiri selain luka pada lengan, bahu serta depan dan belakang badan dipercayai kesan torehan pedang.

Mohd Shaari berkata, dia mulanya cuba melawan dengan menahan tetakan penjenayah menggunakan tangan, namun mengalah apabila seorang penjenayah mengugut untuk membunuh isteri dan anaknya.

“Bila dengar penjenayah yang tarik isteri saya kata ‘Mat Yi, kalau mu tak bui (beri) duit, aku bunuh anak dengan bini mu’, saya pun berhenti melawan.

“Waktu itu, dua anak perempuan saya berumur 19 dan 26 tahun yang tidur dalam bilik juga keluar dan mereka turut diacukan pisau,” katanya.

Tambahnya, isterinya kemudian menyerahkan wang tunai kepada penjenayah terbabit sebelum dua daripada mereka menggeledah bilik tidur anaknya dan melarikan sebuah komputer riba.

“Gelang emas yang dipakai anak perempuan saya juga diragut menggunakan pisau menyebabkan pergelangan tangannya luka,” katanya.

Lawan parang dengan penjenayah

Menurutnya, ketika dua penjenayah melarikan diri selepas menggeledah bilik, dia mengambil kesempatan mencapai sebilah parang dan cuba menewaskan penjenayah ketiga yang masih berada dalam rumah.

“Masa lawan parang dengan penjenayah, senjata dia terlucut dan terkena tangannya hingga luka. Bila saya nak tetak lagi, isteri saya tahan dan lelaki terbabit melarikan diri,” katanya.

Pesara tentera terbabit kemudian dibawa ke hospital oleh isterinya dengan bantuan jiran mereka sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Merah, kira-kira jam 6 pagi.

“Saya percaya penjenayah terbabit panjat pagar rumah selepas potong dawai kawat sebelum potong jeriji tingkap dapur untuk pecah masuk dalam rumah kami.

“Selain melarikan barangan bernilai hampir RM2,000, penjenayah juga memancitkan tayar pacuan empat roda saya dipercayai bagi mengelakkan kami daripada mengejar mereka,” kata Mohd Shaari.

Ujarnya, ini kali kedua rumahnya dipecah masuk setelah kejadian kali pertama selepas Hari Raya Aidilfitri tahun lalu yang menyebabkan kerugian kira-kira RM7,000.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger