Home » » Meraung dibakar hidup-hidup

Meraung dibakar hidup-hidup

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 12 May 2015 | 22:07


KOTA BHARU - Seorang lelaki ditemui meraung-raung dalam keadaan api marak membakar seluruh tubuhnya sebelum meninggal dunia, dalam kejadian di Ladang Sawit, Cherang Tuli, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, petang kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, Ramu Avali, 39, ditemui seorang wanita berusia 21 tahun yang sedang mencari lembu di kawasan ladang berkenaan, jam 5.40 petang.

Wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada abangnya sebelum mereka menghubungi polis.

“Semasa polis dan bomba tiba di lokasi kejadian, lelaki terbabit sedang terbakar separuh daripada badan tetapi masih bernyawa.

“Usaha menyelamatkannya dilakukan sepantas mungkin dengan memadamkan api yang sedang marak membakar tubuh mangsa, namun, selepas selesai api dipadamkan, mangsa didapati telah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, sejam selepas kejadian, polis menahan lima suspek lelaki berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an termasuk suspek utama, seorang kontraktor pembuat jalan yang juga majikan mangsa.

"Isteri kontraktor terbabit yang berusia 33 tahun juga ditahan. Hasil siasatan mendapati, mangsa terlebih dulu dipukul dengan senjata dipercayai batang paip di sebuah rumah kongsi, kira-kira tiga  kilometer dari lokasi dia dibakar. Mangsa tidak sedarkan diri kerana dipukul disangka mati oleh suspek lalu dibawa menaiki kereta ke ladang berkenaan.

“Mangsa dipercayai akan ditanam selepas dibakar bagi hapuskan bukti. Namun, ketika dibakar, mangsa tiba-tiba tersedar dan meraung-raung, kebetulan pula dilihat wanita yang mencari lembu itu yang kemudiannya menghubungi polis,” katanya.

Mazlan berkata, motif pembunuhan dipercayai kerana perselisihan faham antara mangsa yang didakwa terlebih dahulu memukul seorang suspek berusia 60-an kerana mabuk.

Menurutnya, majikannya yang juga bapa saudara suspek berusia 60-an bersama pekerja yang lain  kemudian didakwa bertindak memukul mangsa.

“Lima suspek terbabit berjaya ditahan di rumah tersebut. Seorang lagi ditahan di Jertih ketika usaha melarikan diri dengan pulang ke Johor.

"Satu gergaji kecil dan batang paip patah yang mempunyai kesan darah serta tong petrol turut ditemui di dalam rumah. Semua suspek berasal dari negeri sama itu ditahan reman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger