Home » » Taktik menyamar tak menjadi

Taktik menyamar tak menjadi

Written By Berita Setiap Hari on Monday 11 May 2015 | 02:33


KAMPUNG RAJA -Penyamaran dua lelaki bagi tujuan menyamun dan mengelak daripada dicekup bukan sahaja tidak menjadi, sebaliknya mereka berjaya diberkas penduduk dalam kejadian di Kampung Tok Has, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi itu, pada mulanya seorang suspek menyamar sebagai anggota polis ketika mereka dipercayai cuba menyamun rumah datuk kepada seorang lagi suspek.

Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Kamsani Hassan berkata, kejadian itu disedari seorang anggota Rela yang kebetulan mahu pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan rumah mangsa.

Menurutnya, awalnya anggota Rela terbabit melihat sebuah kereta jenis Honda berwarna kuning berada di tepi jalan berhampiran rumah mangsa dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika anggota Rela itu menghampiri kereta terbabit, dia lihat pintu rumah jirannya terbuka sedikit dan ada dua lelaki di hadapan pintu rumah warga emas itu.

“Dia lihat seorang lelaki (dipercayai cucu mangsa) bertopeng dan memegang sesuatu menyerupai senjata tajam, manakala seorang lagi memakai 'vest' polis,” katanya.

Kamsani berkata lagi, anggota Rela itu memberanikan diri menghampiri rumah mangsa dan seorang daripada suspek memperkenalkan diri sebagai polis.

Bagaimanapun, katanya, sejurus kemudian kedua-dua suspek melarikan diri tetapi malangnya rakan mereka yang menunggu di dalam kereta Honda itu terlebih dahulu melarikan diri.

“Dengan bantuan orang kampung, anggota Rela terbabit mengejar dan melakukan operasi mencari kedua-dua suspek yang bersembunyi di sekitar kampung itu.

“Pada sebelah siangnya, bagi mengelak diberkas, sekali lagi kedua-dua suspek menyamar dengan berlagak sebagai tukang sapu di Balai Raya Kampung itu.

“Mereka berlakon menyapu dan membersihkan kawasan berkenaan, namun perbuatan mereka disedari penduduk kampung yang segera memberkas mereka kira-kira jam 7 pagi sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.

Kamsani berkata, saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah.

Suspek yang bertopeng berusia 17 tahun dari Kampung Nyior Tujuh, manakala rakannya berusia 21 tahun dari Kampung Kerandang, di sini, ditahan reman untuk siasatan lanjut.

Polis juga mengenal pasti dua rakan suspek yang melarikan diri dan usaha memburu mereka sedang giat dilakukan.

Polis turut merampas sebilah pedang samurai, sebiji topi keledar, sehelai vest polis, sehelai topeng muka berwarna hitam dan sehelai tuala kecil dipercayai digunakan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai anggota polis.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger