Saturday, 15 August 2015
Tragedi awal pagi
MARANG – Tiga sahabat maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kereta dinaiki mereka remuk selepas terbabas dan merempuh tangga jejantas di Kilometer 12, Jalan Kuala Terengganu ke Kuala Berang di Wakaf Dua di sini, pagi semalam.
Tiga yang maut dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi itu adalah pemandu kereta Proton Wira, dikenal pasti sebagai Ahmad Amir Fikri Abdul Nasir, 20, beralamat dari Kampung Tok Kaya, Kuala Terengganu.
Dua lagi ialah penumpang, Ahmad Hafiz Zaini@Ramli, 20, dari Banggol Tasek, dan Mohamad Fairuz Rani, 21, dari Rawai, manakala seorang lagi penumpang, Mohamad Faizzuddin Mohd Saad, 20, patah kedua-dua belah kakinya.
Kereta hilang kawalan
Mereka berempat dikatakan dalam perjalanan ke Kuala Berang dari arah Kuala Terengganu, namun setibanya di tempat kejadian, kereta dipandu Ahmad Amir Fikri dikatakan hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tangga jejantas.
Penumpang, Mohamad Fairuz maut di tempat kejadian manakala pemandu kereta, Ahmad Amir dan seorang lagi penumpang, Ahmad Hafiz Zaini meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan.
Penumpang yang terselamat, Mohammad Faizzuddin patah pada kedua-dua belah kaki dan dia yang beralamat dari Rawai itu kini dirawat di wad 4EE di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Jenazah tiga sahabat terbabit dibawa ke Unit Forensik HSNZ untuk dibedah siasat dan anggota keluarga mangsa dilihat turut berada di Unit Forensik HSNZ di Kuala Terengganu, namun rata-ratanya enggan ditemu bual.
Bapa tak bersemangat mahu kerja
Bagaimanapun, bapa kepada salah seorang mangsa, Zaini@Ramli Embong, 46, berkata, sejak seminggu lalu dia tidak membuka bengkel kenderaan serta banyak menghabiskan masa bersama anak sulungnya, Ahmad Hafiz di rumah.
“Minggu ini memang saya tak kerja, rasa tidak bersemangat dan tidak sedap hati, tetapi tak sangka ia petanda anak sulung yang selalu membantu saya di bengkel itu akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya,” katanya.
Menurut Zaini, kali terakhir dia melihat Ahmad Hafiz ketika anaknya itu masih berada di rumah mereka di Banggol Tasek, Bukit Payong pada malam kelmarin, iaitu sebelum anaknya keluar bersama rakan-rakannya menaiki sebuah kereta.
Mangsa bersahabat baik sejak kecil
“Sudah menjadi kebiasaan bagi saya pula, apabila anak sulung tiada di rumah, saya akan terjaga dari tidur sekitar jam 1 pagi untuk menghubunginya (Ahmad Hafiz), bertanyakan dia berada di mana dan bersama siapa.
“Bagaimanapun pagi tadi (semalam) saya tidak terjaga sebaliknya dikejutkan dari tidur dengan suara orang beri salam sekitar jam 3 lebih. Saya kemudian dimaklumkan anak terlibat kemalangan dan terus keluar untuk ke tempat kejadian,” katanya.
Zaini berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, pagi semalam.
Zaini turut memaklumkan, anaknya bersama tiga lagi mangsa termasuk mangsa yang terselamat bersahabat baik kerana mereka membesar bersama dan pernah bersekolah bersama di Bukit Payong.
Dalam pada itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan dan kes itu disiasat di bawah sek 41(1) APJ 1987.