Thursday, 20 January 2022

Mahkamah Tinggi perintah Lokman padam hantaran ‘fitnah’ Ketua Hakim Syarie

 


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari telah memerintahkan bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam memadamkan kesemua hantaran media sosial yang dikaitkan dengan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam tempoh 24 jam.

Hantaran media sosial itu berkait dengan dakwaan gangguan seksual oleh Dr Mohd Na’im.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Rozana Ali Yusoff telah membenarkan permohonan injunksi ex-parte (sebelah pihak) yang dikemukakan Mohd Na’im dalam kes samannya terhadap Lokman.

Menurut peguam mewakili Dr Mohd Na’im, Datuk Akberdin Abdul Kader, mahkamah juga telah menetapkan 7 Februari depan bagi pendengaran injuksi interim-parte.

“Perintah injunksi interim bagi menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbitkan semula hantaran berkenaan dalam apa jua cara sekali pun,” katanya selepas prosiding atas talian hari ini.

Dalam saman fitnah yang difailkan pada 17 Jan lepas, Mohd Na’im selaku plaintif memohon suatu perintah injunksi supaya defendan memadamkan video dan hantaran tersebut dan suatu injunksi untuk menghalang defendan daripada menerbitkan semula hantaran itu.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Na’im yang juga Ketua Pengarah di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia mendakwa Lokman telah memfitnahnya dengan membuat kenyataan menerusi dua siaran langsung di Facebook Lokman Noor Adam Official pada 10 dan 13 Januari lepas.

Mohd Na’im mendakwa defendan juga memuat naik siaran langsung itu di YouTube miliknya masing-masing pada 10  dan 14 Januari selain memuat naik tiga hantaran fitnah terhadap beliau di Facebook milik defendan pada 11 dan 13 Januari lepas. -MalaysiaGazette