Amanat Presiden : Rapatkan Barisan, Pastikan UMNO Raih Kejayaan PRU14
Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 3 December 2013 | 04:59
KUALA LUMPUR, 3 Dis – Rapatkan barisan selepas pilihan raya umum serta pemilihan parti dan pastikan UMNO raih kejayaan pada pilihan raya umum akan datang adalah antara intipati utama amanat Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Najib member penekanan terhadap keperluan mempertingkat perpaduan dan kesatuan anggota UMNO di semua peringkat.
“Lupakan apa yang berlaku dalam musim pemilihan parti kerana kita mesti memastikan bahawa kapal besar ini (UMNO) akan meraih kejayaan dalam pilihan raya umum ke-14, itu juga antara nasihat yang ditekankan oleh presiden parti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Taklimat Presiden di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Najib, kata Shafie, turut meminta hadirin yang terdiri daripada pemimpin Majlis Tertinggi, ketiga-tiga sayap parti dan peringkat bahagian agar member penekanan terhadap beberapa pendekatan yang mampu memperkuat serta memperkukuh parti bagi menghadapi cabaran akan datang.
“Kali ini pendekatan dan penekanan Umno berbeza daripada sebelumnya, yang mana ia meletakkan petunjuk prestasi utama (KPI) kepada kepimpinan bahagian sehinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi.
“Ini adalah untuk memastikan pada akhirnya terdapat hasil dan sumbangan untuk diterjemahkan agar parti sentiasa menjadi ikutan,” kata Shafie.
Beliau berkata Amanat Presiden itu turut menyentuh kepentingan sumbangan parti kepada akar umbi demi kepentingan rakyat.
Anggota MT yang baharu dilantik Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata amanat itu juga menyentuh usaha parti untuk mempertingkat martabat syiar dan syariat Islam di negara ini.
Asyraf Wajdi, yang juga Presiden Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), memetik Najib sebagai berkata indeks syariah akan diwujud bagi membolehkan kedudukan Malaysia dalam konsep memartabat Islam ditentukan, menunjukkan keseriusan kerajaan memperjuang perkara itu.
“Indeks ini juga membolehkan kita mengenal pasti kelemahan atau ruang kosong yang boleh diperbaiki dalam usaha meningkatkan syiar dan syariat. Ini selari dengan matlamat syariat yang meletakkan agama melebihi perkara lain,” kata Asyraf Wajdi.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir pula berkata Najib mahukan pelaksanaan pendekatan parti dalam menegakkan syiar Islam serta memartabat bangsa Melayu dan tanah air, dirasai rakyat.
Perdana Menteri, kata Mukhriz, turut menyentuh penggunaan media sosial oleh UMNO bagi mendekati pengundi baharu yang dijangka berjumlah enam juta orang.
--Umno online
Share this article :
Labels:
Politik