Anggota Polis Malaysia terperangkap di Sudan diselamatkan
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 20 December 2013 | 15:03
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Selepas tiga hari terperangkap di pangkalan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Akobo, Bor, Sudan akibat serangan pihak pemberontak, seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya diselamatkan oleh pasukan bantuan pertubuhan itu hari ini.
Anggota berkenaan, Koperal Pritam Singh Bhag Singh, 55, yang sebelum ini bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Muda, Kedah terperangkap bersama 64 staf pengaman dari pelbagai negara sejak Rabu lalu.
Kejayaan pasukan bantuan PBB menyelamatkan Pritam Singh itu turut dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui Twitter beliau pada pukul 4.48 petang ini.
Syukur Koperal Pritam Singh yang terperangkap di dalam sengketa etnik di Bor, Sudan Selatan telah diselamatkan oleh pasukan bantuan PBB.
Koperal Pritam Singh adalah antara wira-wira PDRM yang berkhidmat di pasukan Pengaman PBB di Sudan Selatan, terperangkap sejak tiga hari lalu," ujarnya seperti di dalam laman sosial berkenaan.
Menurut Khalid, keadaan di Sudan Selatan tersebut amat meruncing ekoran persengketaan dan pembunuhan di antara etnik Nui dan Dingka.
Bersyukur kita tiada masalah etnik di negara kita kerana rakyat kita bertoleransi. Sama-samalah kita jaga dan kekalkan keamanan ini," ujarnya.
Sementara itu, menurut sumber, Pritam Singh telah berkhidmat selama 33 tahun bersama PDRM dan masih bujang.
Sumber berkata, kesemua mereka yang terperangkap itu kini telah dipindahkan ke Juba di Sudan Selatan menaiki empat buah helikopter.
Dalam serangan Rabu lalu, pihak pemberontak telah menyerang serta menawan pangkalan tersebut dan mengakibatkan tiga pegawai pengaman India terbunuh.
Perbalahan etnik itu juga mengakibatkan 500 orang terbunuh manakala lebih 800 orang lagi cedera.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Share this article :
Labels:
Semasa