Bebas tanpa pengawasan pemilik
Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 17 December 2013 | 17:27
BESTARI JAYA - Masalah lembu yang dibiarkan lepas di sepanjang Jalan Raja Musa, di sini menimbulkan rungutan kepada pengguna jalan raya apabila boleh mengundang bahaya terhadap keselamatan diri terutamanya pada waktu malam.
Lebih membimbangkan, insiden kemalangan membabitkan penunggang motosikal yang maut selepas melanggar lembu masih menjadi buah mulut penduduk setempat sekali gus memohon pihak berkenaan mengambil tindakan segera.
Penghulu Mukim Bestari Jaya, Hanis Zahari menjelaskan, dia pun tidak terkecuali berdepan bahaya apabila melalui kawasan itu kira-kira jam 2 pagi untuk menziarahi ibu kawan yang meninggal dunia.
Menurutnya, ketika melalui jalan itu secara tiba-tiba seekor lembu melintas menyebabkan dia cemas namun sempat mengawal pemanduan. Jika dia tidak bersedia pastinya berdepan kemalangan.
“Saya masih terkejut dan cemas dengan insiden itu malah tertanya-tanya sama ada itu tindakan semulajadi lembu atau diasak individu tertentu yang berniat jahat untuk menyebabkan kemalangan.
“Kita tak tahu apa yang berlaku dan tak mustahil itu menjadi salah satu taktik jenayah untuk mengakibatkan kemalangan dan seterusnya merompak pengguna jalan raya yang melalui jalan itu pada waktu malam,” katanya.
Hanis berkata, sewajarnya masalah ini diberi perhatian pihak berwajib kerana rata-rata penduduk mengadu isu yang sama kepadanya memandangkan sehingga kini difahamkan tiada tindakan proaktif diambil.
“Saya hanya boleh nasihatkan penduduk supaya lebih berhati-hati ketika melalui jalan itu dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling sekiranya memandu atau menunggang seorang diri.
“Memang bahaya kalau lalu jalan ini pada waktu malam kerana pengusaha lembu seolah-olah tidak menitikberatkan soal keselamatan pengguna dengan membiarkan lepas lembu tak kira waktu.
“Bila jalan yang dinaiktarafkan ini siap, pastinya lebih banyak kenderaan akan melalui kawasan ini dan sewajarnya isu lembu berkeliaran diselesaikan terlebih dahulu untuk menggelakkan insiden kemalangan,”
katanya.
Pengguna, Mohd Rashdan Abdullah berkata, mungkin sikap pengusaha lembu yang mementingkan diri sendiri ini perlu diubah dan jangan jadikan alasan tiada kandang yang sesuai mengizinkan mereka melepaskan lembu sesuka hati.
“Rata-rata saya baca dalam media yang pengusaha lembu ini beri alasan tiada kandang atau tanah yang luas untuk lembu. Jadi mereka lepas tangan dan biar saja lembu lepas ke mana-mana.
“Bila petang, mereka mula cari lembu yang entah kemana-mana perginya. Yang peliknya, pengusaha lembu itu tak kisah membiarkan lembu dia berkeliaran tanpa pengawasan yang boleh dicuri orang.
“Mungkin mereka kaya dan mempunyai beratus lembu...sebab itu tak kisah kalau ada dua atau tiga lembu dicuri orang,” katanya kepada Sinar Harian.
--SinarHarian
Share this article :
Labels:
Sejarah