Doktor tunjuk jalan
Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 17 December 2013 | 19:34
Bangi: Kemalangan empat tahun lalu hampir meragut semangat Sahar Sarun, 25, untuk meneruskan perjuangan hidup apabila disahkan hilang upaya fizikal pada bahagian tangan kanan.
Namun memikirkan nasib diri dan keluarga yang serba kekurangan, pelajar kelainan upaya (OKU) itu mengambil keputusan melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan Perindustrian (PLPP) untuk mengubah kehidupan ke arah lebih baik.
“Saya hampir putus asa melihat keadaan diri kerana merasakan masa depan saya semakin gelap, manakala pencapaian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pun tidak berapa bagus untuk saya mendapatkan kerja yang baik.
“Syukur ketika mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur, seorang doktor menasihatkan saya untuk sambung belajar di PLPP kerana menurutnya pusat latihan ini menjaga kebajikan OKU untuk ditempatkan di sektor pekerjaan,” kata pelajar Sijil Pembantu Tadbir Sistem Maklumat.
Sahar yang berasal dari Jeram, Selangor menerima Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan pada Majlis Konvokesyen PLPP bagi sidang ke 13 di sini, semalam. Katanya, dia gembira kerana berjaya menamatkan pengajian di PLPP dengan cemerlang serta tidak sabar untuk mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan keadaan dirinya bagi membantu keluarganya.
Pelajar Terbaik Akademik, Nur Fadhilah Mahmud, 21, berkata minat terhadap jahitan mendorong dia untuk mengambil kursus di PLPP bagi meningkatkan lagi kemahirannya.
“Pada awalnya saya tidak yakin dapat mengikuti kursus ini kerana tangan kiri saja yang boleh digerakkan. Bayangkan saya mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan sepasang baju kurung,” katanya.
“Bagaimana pun, melalui tunjuk ajar daripada tenaga pengajar dan sokongan semua pihak terutama keluarga memberi semangat untuk saya terus belajar dengan cemerlang,” katanya yang bercita-cita memiliki kedai jahit sendiri.
Menurut pelajar Rekaan Fesyen Pakaian dan Jahitan itu, kelemahan yang ada pada dirinya menyebabkan dia sentiasa memberi tumpuan penuh ketika sesi pengajian di dalam kelas dan tidak mustahil apabila dia memperoleh semua A dalam subjek dan modul yang dipelajari.
Pada majlis itu, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Malaysia Datuk Norani Mohd Hashim menyampaikan skrol kepada 87 pelajar yang berjaya menamatkan kursus di PLPP.
Semua pelajar itu berjaya menamatkan kursus bagi sijil dalam bidang komputer, jahitan, elektrik, elektronik, lukisan, membatik, anggota palsu dan kerusi roda.
Hadir sama, Pengarah PLPP Zasimah Sisman dan Pengarah Jabatan Pembangunan OKU Adnan Abu Bakar.
--Hmetro
Share this article :
Labels:
Semasa