Home » » Hari Ini Dalam Sejarah 18/12

Hari Ini Dalam Sejarah 18/12

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 17 December 2013 | 19:43


Tambah kapsyen
KERAJAAN TERENGGANU MEWARTAKAN PASIR PETASIH DAN TEMIR DI MUKIM TEMANGGUL, HULU TERENGGANU SEBAGAI KAWASAN PELINDUNGAN BAGI TUNTUNG
Pada hari ini dalam tahun 1987, Kerajaan Terengganu telah menguatkuasakan Enakmen Penyu 1951 bagi melindungi tuntung dan telur-telurnya. Kawasan yang diwartakan itu meliputi kawasan Pasir Petasih dan Temir di dalam Mukim Jenagor dan Pasir Lubuk Kawah di Mukim Temanggul, Hulu Terengganu. Bagi menguatkuasakan undang-undang ini, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Haiwan telah melantik beberapa kakitangan sebagai Pegawai Pelesenan yang akan menguatkuasa peruntukan-peruntukan di bawah enakmen tersebut. Terengganu merupakan negeri kedua selepas Perak yang menjalankan kerja-kerja pemeliharaan tuntung. Sebanyak 36 biji telur tuntung untuk kumpulan pertama telah dieram secara tiruan pada tahun 1976. Antara aktiviti-aktiviti lain yang dijalankan bagi menambah jumlah populasi ini ialah penentasan tiruan, pemeliharaan anak tuntung hingga ke umur setahun, pemeliharaan tuntung dewasa dalam kurungan dan menjalankan kerja-kerja penyelidikan serta meluaskan kerja pemeliharaan ke sungai-sungai lain.. Sesungguhnya, langkah-langkah yang dijalankan tersebut telah mendapat kerjasama daripada pihak Kerajaan dan penduduk setempat  dalam usaha mengawal spesis yang semakin berkurangan di negara ini.

PERASMIAN PERTEMUAN DUNIA MELAYU 1982
Pada  hari  ini  dalam  tahun  1982,  Perdana Menteri,  Dato'  Seri  Dr. Mahathir Mohamad  telah  merasmikan  Pertemuan  Dunia  Melayu 1982  bertempat  di  Maktab  Perguruan  Melayu,  Melaka.  Pertemuan  ini  merupakan  anjuran  secara  bersama  oleh  Kerajaan  Negeri  Melaka,  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka  dan  Gabungan  Persatuan  Penulis  Nasional  (GAPENA).  Dalam  ucapannya,  Perdana  Menteri  mengingatkan  umat  Melayu  supaya  jangan  memporakperandakan  suasana  politik  dengan  mengapi-apikan nasionalisme Melayu sempit untuk mewujudkan 'Dunia Melayu' sebagaimana dalam sejarah dahulu kala.  Beliau  juga  menyeru  supaya  orang-orang   Melayu  untuk  mengubah  nasib  serta  memikul  tanggungjawab  untuk  memelihara  warisan  Melayu  sebagai  warisan  peradaban  masyarakat  dunia  yang  progresif.  Pertemuan  bersejarah  ini   disertai  oleh  lebih  500  orang  para  sarjana,  penulis  dan  budayawan  Dunia  Melayu  termasuklah  dari  Indonesia,  Thailand,  Filipina,  Singapura,  Brunei  dan  Sri  Lanka.  Lanjutan  daripada  itu,   pada  3  April  1987  sebuah  buku  ‘Pertemuan  Dunia  Melayu  1982’  terbitan  Dewan  Bahasa  dan  Pustaka  yang  merupakan  kumpulan  kertas  kerja  pertemuan  tersebut  telah  dilancar  oleh   Dato’  Seri  Dr.  Mahathir  Mohamad  pada  Majlis  Makan  Malam  GAPENA-ESSO.


SEMINAR PEMIKIRAN ISLAM PERINGKAT KEBANGSAAN KETIGA
Pada hari ini 18.12.1990 Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Dr. Abdul Hamid bin Othman telah merasmikan Seminar Pemikiran Islam Peringkat Kebangsaan yang Ketiga, bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Seminar tersebut telah dihadiri oleh tokoh-tokoh pengajian Islam tempatan dan luar negara. Matlamat utama Seminar itu diadakan ialah untuk membincangkan peranan dan sumbangan imam Al-Nawawi kepada perkembangan dan pembangunan ilmu dan pemikiran Islam di seluruh dunia. Beberapa kertas kerja telah dibentangkan di seminar tersebut.  Di antaranya ialah Kertas Kerja yang disediakan oleh Profesor Madya Abdul Hayei Abd. Syukur mengenai kitab syarh muslim.  Kertas kerja itu membentangkan metod Imam AlNawawi dan menyarankan supaya kitab berkenaan dijadikan bahan rujukan utama untuk pelajar-pelajar di peringkat tinggi, di mana akan membolehkan mereka lebih arif dengan sumber-sumber yang dapat memberikan maklumat dan ilmu Islam yang ringkas, tepat dan betul. Dalam ucapannya Dato' Dr. Abdul Hamid berkata bahawa cendekiawan- cendekiawan Islam di negara ini perlu meningkatkan usaha untuk membetulkan salah faham mengenai pendidikan Islam dan sekular di kalangan umat Islam. Kedua-dua sistem itu perlu didekatkan untuk kebaikan semua umat Islam. Sesungguhnya seminar pemikiran Islam peringkat kebangsaan yang diadakan pada hari ini, diharap akan dapat menyelesaikan pelbagai masalah yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini


Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger