Home » » Jel 8 bulan balasan balun isteri dengan joran

Jel 8 bulan balasan balun isteri dengan joran

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday 17 December 2013 | 19:58


Segamat: Seorang kaki pancing panas baran yang tergamak memukul isteri menggunakan batang joran kerana mendakwa isterinya curang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret Segamat di sini, semalam.

Tertuduh, Hamidun Yahmu, 37, mengaku bersalah terhadap dua tuduhan termasuk tuduhan pertama melakukan ugutan jenayah terhadap Nonita Mohamed, 37.


Tertuduh didakwa melakukan ugutan jenayah pada jam 11.30 malam, 7 Disember lalu hingga jam 12.15 tengah malam, 8 Disember lalu di rumah mereka di Kampung Sedeng, Segamat.

Hamidun didakwa mengugut dengan mengeluarkan kata-kata ‘kau ingat, aku tidak berani hendak bunuh kau dan sesiapa masuk campur, aku akan bunuh juga termasuk polis’.


Perbuatan itu didakwa boleh mendatangkan ketakutan dan kecederaan terhadap Nonita.


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Bagi tuduhan kedua, Hamidun didakwa sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Nonita dengan memukul mangsa menggunakan batang joran.


Hamidun didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Akibat perbuatan tertuduh, mangsa pernah mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.


Mangsa dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pernah memohon Perintah Perlindungan Sementara daripada Mahkamah Majistret Segamat. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafi Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Majistret Juliana Jaffar menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi tuduhan pertama dan penjara dua bulan bagi tuduhan kedua dan kedua-dua hukuman berjalan serentak.
--Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger