Home » » Kecoh Penuam Tapak kaki Bigfoot

Kecoh Penuam Tapak kaki Bigfoot

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 17 December 2013 | 20:32


SEGAMAT - Berita seorang pekebun sayur di Kampung Gudang Garam, di sini, yang menemui tapak kaki didakwa milik Bigfoot atau mawas, Sabtu lalu, terjawab apabila ia dipercayai milik seekor tapir.

Pemilik kebun sayur tersebut, Lew Tzee Chong, 58, menyangkal dakwaan kesan tapak kaki tersebut adalah milik Bigfoot, sebaliknya pada awalnya berpendapat ia mungkin kesan tapak kaki beruang ekoran saiz tapak kakinya yang besar.

“Walau bagaimanapun, saya tidak pernah mendengar cerita kewujudan beruang di kawasan ini termasuk Bigfoot yang telah menjadi buah mulut penduduk kampung sejak akhir-akhir ini. Sejak tersebar khabar angin Bigfoot di kebun saya, makin ramai orang datang untuk melihat tapak kaki tersebut.

“Namun, saya sedikit lega apabila diberitahu pihak Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Johor yang datang membuat pemeriksaan pagi tadi (semalam) bahawa kesan tersebut adalah kesan tapak kaki tapir,” katanya.

Penduduk, Mohd Noor Mohd Ariffin, 37, berkata, dia tidak pernah menemui sebarang kesan ganjil sepanjang mengusahakan kebun sayurnya bersebelahan lokasi tapak kaki tersebut ditemui beberapa tahun lalu.

“Boleh dikatakan sejak kebelakangan ini, setiap hari saya pergi ke dusun durian yang terletak berdekatan kebun sayur tersebut untuk memungut durian.

“Tidak pernah pula saya bertemu sebarang haiwan buas atau kelibat Bigfoot yang boleh mengancam keselamatan penduduk kampung.

“Saya juga telah pergi melihat sendiri kesan tapak kaki tersebut dan mendapati kesan tersebut adalah kesan tapak kaki binatang yang berbadan besar tetapi bukannya Bigfoot,” katanya.

Dia berharap cerita mengenai kewujudan Bigfoot tersebut tidak disebarkan kerana perkara tersebut tidak benar dan boleh menimbulkan ketakutan kepada penduduk kampung terutama yang bergantung pada hasil pertanian.

Sementara itu, jurucakap Perhilitan Johor berkata, hasil siasatan mendapati ia bukan kesan tapak kaki Bigfoot, sebaliknya milik tapir.

“Berdasarkan contoh sampel ‘Plaster Cast’ iaitu kesan tapak kaki haiwan yang pernah dibekukan, kesan tapak kaki tersebut adalah milik tapir yang dianggarkan seberat 500 kilogram (kg).

“Jadi, tidak wujud cerita mengenai kewujudan Bigfoot di kawasan tersebut dan kami masih mencari tapir berkenaan kerana kawasan tersebut bukan habitatnya,” katanya.
---Sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger