Himpunan guling kerajaan: Pemuda Umno lapor polis
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 20 December 2013 | 00:00
BUKIT MERTAJAM - Pergerakan Pemuda Umno Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung usaha pihak tertentu menganjurkan perhimpunan yang dinamakan 'Himpunan Guling Kerajaan' pada 31 Disember.
Ketua Pergerakannya, Rafizal Abd Rahim berkata, polis perlu mengambil tindakan segera bagi menahan dalang yang cuba menimbulkan keadaan huru-hara di negara ini.
"Saya mendapat maklumat berhubung perhimpunan untuk guling kerajaan pada 31
Disember ini di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur dan seluruh negara melalui laman media sosial Facebook semalam.
"Berikutan itu saya mewakili Pemuda Umno negeri membuat laporan polis berhubung perhimpunan itu dan tindakan segera perlu diambil," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.
Rafizal berkata, kerajaan dipilih secara demokratik dan pertukarannya tidak boleh dilakukan melalui kekerasan dan perhimpunan seumpama itu bukan sahaja memburukkan negara sendiri malah menakutkan pelancong asing untuk melawat negara ini.
Baru-baru ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis memandang serius tindakan pihak yang mengedarkan poster mengajak orang ramai mengguling kerajaan pada 31 Disember ini dan akan menyiasat perkara itu mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma)
--sinar
Share this article :
Labels:
Politik