Home » » Maut dihimpit dua kontena

Maut dihimpit dua kontena

Written By Berita Setiap Hari on Tuesday, 17 December 2013 | 16:15


Seberang Jaya: “Kejadian berlaku pantas dan sebaik berpaling selepas meletak kon sebagai pelapik kontena, saya lihat mangsa sudah tersepit,” kata Mohd Shafizul Yusof, 24, rakan Shahidi Asyraf Zainal Abidin, 27, yang maut akibat dihimpit antara dua kontena di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi ketika mangsa dan rakan yang bertugas sebagai ‘tally clerk’ secara kontrak sedang mencatat nombor pada kontena sepanjang tujuh meter yang baru diturunkan dengan kren sebelum diangkat semula untuk dimasukkan ke dalam kapal.


Mohd Shafizul berkata, dia berada bersebelahan mangsa sebelum beralih untuk meletak kon sebagai pelapik kontena dan kejadian berlaku selepas sejam mereka mula kerja syif pagi.
“Selepas beberapa saat, saya berpaling semula ke arah Shahidi dan terkejut apabila mendapati dia sudah tersepit antara dua kontena dengan kepalanya berlumuran darah.


“Saya bergegas memaklumkan kejadian kepada penyelia tetapi semuanya sudah terlewat kerana mangsa sudah tidak bergerak,” katanya ketika ditemui di Hospital Seberang Jaya (HSJ).


Difahamkan, pengendali kren perlu menunggu isyarat daripada mereka yang mencatat nombor kontena terlebih dulu sebelum menurunkan kontena, tetapi ia diturunkan lebih awal menyebabkan mangsa dihimpit.

Seorang lagi rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, kren berkenaan boleh mengangkat dua kontena sekali gus dan nombor dicatat terlebih dulu sebelum diletakkan semula ke dalam kapal.


“Pengendali kren tidak ikut prosedur menyebabkan kemalangan berlaku. Sebelum ini banyak kemalangan berlaku tetapi sepi begitu saja,” katanya.

Isteri mangsa, Mazni Mansor, 28, dari Permatang Berangan, Tasek Gelugor ketika ditemui di HSJ bersama anak mereka, Nor Syazwina Awatif yang berusia setahun enggan mengulas kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.
--Hmetro
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger