Misteri bau busuk terungkai
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 20 December 2013 | 16:59
KUALA KANGSAR - Misteri bau busuk yang kerap dihidu penduduk berhampiran surau lama di Kampung Batang Kulim sejak minggu lalu akhirnya terungkai apabila mayat seorang wanita warga emas ditemui dalam sebuah rumah di sini, semalam.
Mayat berkenaan dijumpai seorang penduduk kampung yang pergi ke rumah berkenaan setelah hampir dua minggu tidak melihat kelibat warga emas tersebut.
Dia yang enggan dikenali berkata, isterinya menghubungi anak wanita tersebut pada pagi semalam namun anak wanita itu mengatakan ibunya masih berada di kampung dan tidak bersamanya di Kuala Lumpur.
Bimbang sesuatu mungkin terjadi kepada warga emas tersebut, dia bergegas ke rumah wanita itu dan mendapati ada bau busuk datang dari dalam rumah sebaik sahaja di tiba di pintu rumah berkenaan.
“Saya terpaksa panjat pagar rumah untuk masuk ke dalam kawasan rumah kerana pagarnya berkunci. Bila saya rapat dengan pintu rumah, saya terhidu bau yang kurang menyenangkan.
“Pintu rumah itu berkunci jadi saya terpaksa tendang pintu tersebut. Bila dah terbuka, saya lihat ada satu mayat terbaring di ruang tamu rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, dia segera pergi ke balai polis untuk melaporkan perkara berkenaan selepas melihat mayat wanita berkenaan.
Dalam pada itu, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Sahak, 32, berkata, dia sudah beberapa kali terhidu bau busuk apabila melalui berhampiran rumah berkenaan namun dia tidak pasti bau tersebut datang dari mana.
“Memang selalu ada bau busuk bila lalu kawasan itu tapi saya tidak tahu itu bau apa. Rumah itu pun dah lama bergelap tapi kami ingat dia pergi ke rumah anaknya.
“Selalu pun kalau dia pergi ke rumah anaknya, memang rumah dia selalu bergelap pun,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Beliau berkata, polis menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 47 tahun yang mengatakan ada terjumpa mayat dalam sebuah rumah beralamat di Jalan Batu 28 3/4, Kampung Batang Kulim.
Menurutnya, mayat wanita tersebut dikenal pasti sebagai Yulaizah Mohd Ariffin, 78, yang lebih dikenali sebagai Kak Yon di kalangan penduduk kampung.
“Dipercayai sudah hampir dua minggu mangsa meninggal dunia berdasarkan keadaan mayat yang sudah tinggal rangka. Si mati tinggal seorang diri dan mempunyai empat orang anak yang tinggal di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Sebab kematian masih belum diketahui dan mayat dihantar ke hospital untuk dibedah siasat,” katanya ketika dihubungi, semalam.
--Sinar
Share this article :
Labels:
Semasa