Rumah ranap ditimpa pokok
Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 21 December 2013 | 17:36
ROMPIN - Sebuah keluarga di Kampung Batu 7, Janglau 4, di sini melalui detik cemas selepas rumah mereka dihempap dua pokok sekali gus selepas angin kencang melanda kampung itu kira-kira jam 11.45 malam, Selasa lalu.
Pada malam kejadian, Saifuddin Johan, 40, bersama isteri, Saerah Jaafar, 35, serta tiga anak mereka sedang menonton televisyen di rumah.
Saerah berkata, ketika kejadian, dia terdengar bunyi angin kencang di sekeliling rumahnya.
“Saya rasa tak sedap hati dan ajak suami dan anak-anak lari ke rumah jiran sebelum kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.
Bagaimanapun katanya, belum sempat mereka sampai ke rumah jiran, tiba-tiba pokok kelapa dan kuinin berhampiran rumah tumbang menimpa kediaman mereka.
“Ketika itu, saya dan anak anak-anak sudah berada di luar tapi suami masih di dalam rumah kerana sedang mematikan kesemua suis elektrik.
“Kami tergamam seketika kerana terkejut dan fikirkan keselamatan suami yang masih berada dalam rumah, mujur dia sempat lari selamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Rompin, Shamsul Affendy Sulaiman berkata, aduan mengenai kejadian itu diterima pada jam 7.20 pagi keesokan hari.
Menurutnya, seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian untuk tujuan menyelamat.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan, cuma anggota mengambil masa untuk memotong pokok kuinin yang agak besar.
“Kesemua mangsa kini menetap di rumah mereka kerana masih ada bahagian rumah yang tidak ranap namun sekiranya hujan lebat atau angin kencang, mereka akan menumpang di rumah jiran,” katanya.
Dalam pada itu, nasib yang menimpa keluarga mangsa mendapat perhatian Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Rompin, namun sehingga kini, mereka masih belum menerima bantuan.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Saerah di talian 010-5721343.
--Sinar
Share this article :
Labels:
Semasa