Home » , » Tentera bina jambatan taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman

Tentera bina jambatan taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 8 December 2013 | 03:39


KUALA LUMPUR: Jambatan taktikal di Sungai Limbungan, Kemaman, Terengganu akan dibina seawal-awalnya hari ini apabila kesemua aset pembinaan tiba di lokasi petang ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata Kor Jurutera
Diraja yang akan membina jambatan 'Compact 200' itu sudah berada di lokasi
bersama Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) yang berpangkalan di
Gemas, Negeri Sembilan.
(Gambar Hiasan)
"Jika tiada halangan, pembinaan jambatan boleh terus dilaksanakan. Pembinaan
jambatan ini penting bagi menghubungkan kawasan terjejas agar operasi penghantaran bekalan makanan, perubatan dan lain-lain keperluan kepada

mangsa banjir dapat dilaksanakan," katanya.

Kemaman adalah daerah yang paling teruk dilanda banjir di Terengganu, dan
jambatan taktikal berkenaan perlu dibina berikutan sebahagian daripada lima meter tebing Sungai Limbungan runtuh.

Hishammuddin berkata demikian ketika ditemui di kafe Hospital Gleneagles di sini, hari ini, selepas dimasukkan ke hospital itu sejak Isnin lalu.

Beliau dimasukkan ke hospital itu bagi menjalani prosedur angioplasti
selepas disahkan mengalami masalah saluran arteri sempit.

Hishammuddin berkata, beliau turut mengarahkan (PAT) Panglima Angkatan
Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin dan Timbalan Menteri, Datuk Abdul Rahim Bakri
untuk turun padang memantau pemberian bantuan yang disalurkan oleh Angkatan
Tentera Malaysia (ATM).

"Hari ini Timbalan Menteri (Abdul Rahim) akan ke Kemaman, manakala esok PAT
akan turun padang ke Kelantan.

"Meskipun banjir sudah semakin pulih, saya arah ATM untuk bersiap-siaga menghadapi kemungkinan gelombang banjir yang kedua," jelasnya.

Hishammuddin berkata, Timbalan Menteri dan PAT akan meninjau kawasan
yang berkemungkinan dilanda gelombang banjir kedua, khususnya dari segi
kesiapsiagaan ATM.

"Pada setiap hujung tahun, kita memang siap sedia menghadapi banjir. Namun pada kali ini banjir yang berlaku lebih serius daripada yang dijangkakan," katanya. - Bernama
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger