Home » » Warga emas terjun selamatkan diri maut

Warga emas terjun selamatkan diri maut

Written By Berita Setiap Hari on Saturday, 21 December 2013 | 18:11


KOTA KINABALU:  Seorang warga emas berumur 79 tahun maut selepas bertindak terjun daripada tingkat satu rumahnya yang sedang terbakar di Taman Jido dekat sini awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Chin Nyuk Sam tingkal bersama tujuh ahli keluarganya dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bertindak terjun dari tingkat satu selepas rumah terbakar.
Bagaimanapun, tindakan mangsa itu mengundang padah apabila terjatuh lalu mengalami pendarahan teruk di kepala selain sebahagian badannya hangus terbakar, namun ahli keluarganya yang lain berjaya menyelamatkan diri.
“Pada waktu itu, saya melihat anak saudara saya Luis Wong sedang menarik emak saya yang ketika itu tertiarap di luar rumah dalam keadaan kepalanya berdarah dan separuh badannya terbakar selepas bertindak nekad terjun dari tingkat satu bagi menyelamatkan nyawanya daripada rentung dijilat api.
“Saya melihat dia (Luis) dalam keadaan tidak bermaya, lalu saya segera membantu mengangkat emak saya ke tempat selamat, namun ia sudah tidak bernyawa,” kata anak kepada mangsa Johny Wong, 45, ketika ditemui kelmarin.
Menurut Johny, sebelum kejadian itu, ibunya bersama enam ahli keluarga termasuk seorang cucunya sedang nyenyak tidur di dalam bilik masing-masing, sebelum adik iparnya menjerit ada api di rumahnya.
“Ketika itu beberapa ahli keluarga yang cuba berusaha memadam api berkenaan, namun gagal, menyebabkan mereka menyelamatkan harta benda yang boleh diselamatkan.
“Bagaimanapun, ketika semua berjaya keluar dari rumah berkenaan, termasuk emak saya, dia masuk semula ke dalam rumah kerana cuba menyelamatkan benda,” katanya.
Tambahnya, selepas itu Luis, 18, mengejarnya dan mengarahkan supaya keluar dari rumah berkenaan, namun keadaan api semakin marak, menyebabkan mereka gagal untuk keluar dari rumah itu.
“Selepas itu, mereka berdua naik ke tingkat satu dan cuba menyelamatkan diri melalui tingkap di bahagian bilik mangsa (emak).
“Ketika itu, Luis terlebih dahulu bertindak terjun, kemudian emak saya, namun dia gagal dan terjatuh berhampiran dengan bara api, sebelum Luis cuba menariknya.
“Kemudian saya terus bergegas dan memberi bantuan dan menarik emak saya ke kawasan yang lebih selamat, namun ia sudah tidak bernyawa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Sembulan, Ariffin Harris ketika dihubungi kelmarin berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 2.10 pagi dan tiba di tempat kejadian tidak lama selepas itu.
“Satu jentera dengan lapan orang anggota kemudian berjaya menamatkan operasi pada jam 4.28 pagi,” katanya menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih lagi dalam siasatan.

---Borneopost
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger