Home » » 5 sekeluarga bergelimpangan di lebuh raya

5 sekeluarga bergelimpangan di lebuh raya

Written By Berita Setiap Hari on Monday, 10 February 2014 | 16:11


Jasin – Lima sekeluarga bergelimpangan di lebuh raya selepas tercampak keluar dari Toyota Estima dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 190.4, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), arah selatan, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi, dua ahli keluarga terbabit terbunuh manakala dua lagi parah termasuk seorang kanak-kanak berusia 10 tahun serta dua lagi mangsa cedera ringan.
Difahamkan, wanita warga emas Kooi Bee Hua, 67, maut di tempat kejadian akibat tersepit manakala seorang lagi lelaki yang belum dikenal pasti identiti disahkan mati ketika menerima rawatan di Hospital Melaka tidak lama kemudian.
Kenderaan berkenaan dinaiki enam orang masing-masing tiga lelaki dan perempuan.
Menurut sumber, kejadian berlaku apabila pemandu Toyota Estima dipercayai hilang kawalan di lorong kanan lalu terbabas merempuh besi penghadang tengah sebelum kenderaan terbalik beberapa kali.
“Berikutan kejadian, lima mangsa tercampak keluar dan seorang wanita warga emas tersepit pada pintu kenderaan. Seorang mangsa iaitu kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut parah.
“Dua lagi wanita cedera parah dan dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Melaka untuk rawatan manakala dua lagi hanya cedera ringan diberi rawatan kecemasan di tempat kejadian,” katanya.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan 11 Mohd Ashraf Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 6.40 pagi.

Katanya, sepasukan anggota bersama sebuah jentera tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian dan mendapati lima dari enam mangsa yang cedera terbaring di atas lebuh raya dalam keadaan menyedihkan.
“Seorang daripada mereka yang cedera parah di kepala didapati tersepit di celah pintu kenderaan sebelah kiri dan dipercayai mati di tempat kejadian dan dikeluarkan dalam masa kurang dari 10 minit,” katanya, di sini, semalam.
Menurutnya, anggota bomba turut membantu mengumpulkan tiga mangsa yang cedera parah termasuk dua lagi cedera ringan di tepi jalan sementara menunggu bantuan paramedik tiba tidak lama selepas itu. “Keadaan amat menyedihkan, selepas melihat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun cedera parah di bahagian perut sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Mohd Nur Hishamudin Hashim berkata, dua mangsa terbunuh dan dua parah dan dua lagi cedera ringan selepas kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan, lapor Hmetro.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu dan setibanya di tempat kejadian kenderaan dinaiki terbabas ke kanan jalan lalu merempuh besi penghadang tengah sebelum terbalik beberapa kali.
“Seorang mati di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger