Home » » Ugut tetak anggota polis

Ugut tetak anggota polis

Written By Berita Setiap Hari on Sunday 2 February 2014 | 18:29


KAMPUNG RAJA- Gara-gara tidak berpuas hati adik dan rakannya ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan dadah, seorang abang dilaporkan bertindak mengugut mahu menetak seorang anggota polis sukarelawan dalam kejadian di Kampung Gong Lilit, Apal dekat Jabi di sini Jumaat lalu.

Menurut sumber, dalam kejadian dipercayai kira-kira jam 10 malam itu berlaku ketika mangsa berusia 33 tahun berada di rumahnya sebelum isterinya berusia 30-an memaklumkan  ada seorang lelaki ingin berjumpanya.

Menurut sumber, mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa segera ke depan pintu untuk berjumpa lelaki terbabit yang berada di hadapan rumah mangsa sambil memegang sebilah pedang.

“Lelaki terbabit memaklumkan dia ingin menetak mangsa dan anggota polis dari Balai Polis Jertih kerana menahan adik dan rakannya yang terbabit dalam kes dadah.

“Kekecohan yang dicetuskan oleh suspek itu menarik perhatian penduduk kampung menyebabkan suspek beredar meninggalkan rumah mangsa menaiki motosikal,” katanya.

Bagaimanapun kata sumber itu, suspek yang masih tidak berpuas hati datang sekali lagi membuat kecoh di rumah mangsa kira-kira jam 11.40 malam pada hari sama.

Namun ketika itu, mangsa tidak berada di rumah kerana menghadiri taklimat tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut dan dimaklumkan isterinya mengenai kehadiran suspek sama di rumahnya.

“Sebaik dimaklumkan kejadian itu, mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Jertih untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan.

Menurutnya suspek berusia 29 tahun telah ditahan kira-kira jam 1 pagi beberapa jam selepas kejadian tersebut dilaporkan di kampung sama.

“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.
--sinar harian
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger