Home » » Doktor lemas di Pulau Perhentian

Doktor lemas di Pulau Perhentian

Written By Berita Setiap Hari on Thursday, 17 July 2014 | 22:18


BESUT - Keseronokan pasangan doktor dari Korea bercuti di Pulau Perhentian di sini, bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka mati lemas ketika mandi di pulau tersebut petang kelmarin.

Menurut isteri mangsa, Dr Lee Yong Joo, 38, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 3.30 petang ketika suaminya, Kim Byung Rin, 40, bermain snorkeling di Shark Point dekat Pulau Perhentian Besar.

Kata Yong Joo, sebelum kejadian itu suaminya turun ke dalam air dengan memakai jaket keselamatan, kemudian dia naik ke darat sebelum turun semula tanpa memakai jaket tersebut.

“Ketika kejadian saya tidak mandi bersama, sebaliknya suami saya turun seorang diri untuk snorkeling bersama pelancong lain yang berada berdekatan.

“Tetapi selepas suami saya masuk ke dalam air, saya dapati dia hilang lalu memberitahu pelancong lain. Kemudian saya lihat suami sudah terapung,” katanya sedih.

Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Pulau Perhentian, namun disahkan meninggal dunia.

Mayatnya dibawa ke tanah besar sebelum dihantar ke Bilik Mayat Hospital Besut untuk bedah siasat.

Yong Joo berkata, mereka berdua tiba di pulau berkenaan Sabtu lalu dan dijangka pulang ke Korea hari ini melalui Singapura.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, polis mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa dihantar ke hospital untuk bedah siasat.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati mangsa mati akibat lemas dan tiada unsur jenayah. Polis mengklasifikasikan kes ini sebagai kematian mengejut.
--Sinar
Share this article :
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger