Gerakan kecam Pemuda PAS politikkan tragedi MH17
Written By Berita Setiap Hari on Friday, 18 July 2014 | 00:13
Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang membidas Pemuda PAS yang mempolitikkan isu tragedi MH17 ketika negara masih bersedih dan terkejut dengan insiden tersebut.
Tan mengecam tindakan Ketua Pemuda PAS Suhaizat Kaiat yang menyalahkan Malaysian Airlines (MAS) sebagai punca tragedi MH17 ditembak di ruang udara Ukraine semalam.
"Pemuda Gerakan menggesa PAS supaya tidak mempolitikkan insiden melibatkan penerbangan MH17.
"Ketika ini perkara tersebut masih disiasat. Pemuda PAS tidak wajar cuba menyalahkan MAS atas tragedi tersebut," kata Tan dalam satu kenyataan hari ini.
Suhaizan hari ini mempersoalkan MAS menggunakan laluan berbahaya di ruang udara walaupun mengetahui risiko yang dihadapi.
"Dengan rekod bahaya sedemikian, MAS tidak sepatutnya menggunakan ruang udara Ukraine sebagai laluan.
"Insiden ini sepatutnya jadi pembuka mata kepada semua ke atas peraturan ruang udara khususnya di negara berkonflik bagi mengekal perkara sama berulang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tan berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sudah menjelaskan isu tersebut, malah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) mengesahkan laluan tersebut selamat.
"Insiden ini adalah tragedi nasional dan tidak wajar dijadikan modal bagi mana-mana parti demi kepentingan politik," kata Tan.
Malaysia hari ini digemparkan dengan berita pesawat MAS Boeing 777 ditembak jatuh dari udara selepas empat bulan pesawat MH370 hilang dari radar.
Pesawat MH17 yang terbang 300 meter di atas kawasan larangan apabila ditembak jatuh kumpulan pemberontak di timur Ukraine mengorbankan 298 nyawa.
Pesawat malang itu membawa seramai 154 penumpang warga Belanda, Australia (27), Malaysia (45, termasuk 15 anak kapal dan 2 bayi), Indonesia (12 termasuk 1 bayi), Britain (9), Jerman (4), Belgium (4), Filipina (3), Kanada (1) serta penumpang yang masih belum dikenalpasti seramai 41 orang.
Menurut pelbagai pihak, kumpulan pemberontak pro-Rusia dipercayai terlibat dalam tembakan itu.
Ekoran itu, semua pihak membantahnya dan mengharapkan siasatan terperinci dibuat dan penjenayah itu dibawa ke muka pengadilan. – 18 Julai, 2014.
Share this article :
Labels:
Politik