Home » » 13 ADUN PAS masih enggan ikrar sokongan

13 ADUN PAS masih enggan ikrar sokongan

Written By Bp Channel II on Saturday, 23 August 2014 | 05:41


13 ADUN PAS Selangor masih enggan menandatangani sokongan secara hitam putih kepada calon menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hal ini merumitkan PKR yang mahu memastikan kesemua 43 ADUN Pakatan di Selangor menyatakan kesetiaan kepada presiden PKR itu.

Malaysiakini dimaklumkan bahawa hal ini merupakan agenda utama mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat semalam.

Perbincangan tersebut bagaimanapun masih belum menemukan sebarang penyelesaian, kata seorang pemimpin PKR yang enggan dinamakan.

Beliau mengakui bahawa PAS dalam mesyuarat semalam tidak bersetuju memberi sokongan pada Wan Azizah melalui melalui pengakuan berkanun.

Difahamkan, para pemimpin pimpinan Pusat PAS tidak bersetuju untuk menandatangani sokongan mereka kerana ia "bukanlah salah satu persetujuan dalam perbincangan sebelum ini."

Oleh yang demikian, satu lagi mesyuarat akan diadakan "dalam masa terdekat" bagi mendapat sokongan tersebut dalam bentuk hitam putih, katanya.

Bukti sokongan

Malaysiakini difahamkan, pengakuan berkanun itu akan dipersembahkan ketika menghadap sultan Selangor bagi membuktikan sokongan majoriti dewan kepada Wan Azizah yang juga ADUN Kajang.

Wan Azizah dalam sidang medianya sebelum ini mengumumkan bahawa beliau mendapat sokongan 30 dari 56 ADUN Selangor termasuk dua dari PAS.

Sementara itu satu sumber rapat dengan PAS Selangor mengesahkan 13 ADUN PAS termasuk empat Exconya tidak muncul untuk menyokong Wan Azizah.

Menurut sumber tersebut, para wakil rakyat tersebut berbuat demikian kerana “tidak mendapat arahan” dari pimpinan PAS Pusat untuk menandatangani sebarang sokongan atau perakuan untuk menyokong Wan Azizah.

Setakat ini, hanya dua orang ADUN PAS yang menandatangani dokumen tersebut, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Hubungan antara PAS dan Pakatan Rakyat sedikit bergolak kerana parti Islam itu tidak menyatakan sokongan secara terbuka ke atas keputusan memecat menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari PKR, 9 Ogos lalu.

PAS juga tidak menyatakan sokongan bulat ke atas usaha PKR untuk melantik Wan Azizah sebagai menteri besar baru.

Sikap yang ditunjukkan PAS itu merumitkan PKR, lebih-lebih lagi apabila parti Islam itu turut mencadangkan Azmin Ali sebagai calon alternatif, walau timbalan presiden PKR itu sendiri menolak cadangan tersebut.
 http://www.malaysiakini.com/news/272465
Share this article :

Post a Comment

 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Berita Setiap Hari - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger